Fadillah Yusof
KUALA LUMPUR – Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk muncul bukan sahaja sebagai destinasi pelaburan hijau, malah sebagai pembangun, pengeluar dan penyedia penyelesaian tenaga bersih serantau.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerjasama antara kerajaan, industri, pelabur, ahli akademik dan komuniti tempatan perlu diperkukuhkan bagi mencapai matlamat itu.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, ekosistem tenaga berdaya saing dan mampan menjadi faktor utama menarik pelaburan berimpak tinggi dalam sektor semikonduktor, pembuatan termaju, infrastruktur digital dan pusat data.
“Syarikat antarabangsa kini semakin mengambil kira akses kepada bekalan elektrik boleh dipercayai dan boleh diperbaharui sebelum membuat keputusan untuk bertapak atau mengembangkan operasi mereka.
“Justeru, kita mahu Malaysia diiktiraf bukan sekadar destinasi pelaburan hijau, sebaliknya sebagai pembangun dan penyedia penyelesaian tenaga bersih serantau,” katanya, lapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ladang Solar Program Tenaga Hijau Korporat Gading Kencana di sini, hari ini.
Fadillah berkata, usaha memperkasa tenaga solar perlu bergerak seiring transformasi keseluruhan ekosistem elektrik bagi menangani sifat penjanaan tenaga boleh baharu (TBB) yang berubah-ubah.
Katanya, kementeriannya memberi tumpuan kepada pemodenan grid, pengurusan tenaga digital serta Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri, selain memperkukuh infrastruktur penghantaran dan pengagihan.
“Matlamat kita bukan sekadar menjana lebih banyak elektrik hijau, tetapi membina sistem tenaga lebih bersih, berdaya tahan dan cekap pada kos berpatutan,” katanya.
Beliau berkata, aspirasi kerajaan bukan sekadar meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam sektor tenaga, sebaliknya melahirkan perusahaan yang mampan, berkeupayaan teknologi dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
“Kita mahu melihat lebih ramai usahawan Bumiputera bergerak ke tahap lebih tinggi dalam rantaian nilai, daripada menyertai projek kepada membangunkannya, daripada menggunakan teknologi kepada memilikinya,” katanya.
Mengenai projek berkenaan, Fadillah menyifatkan pelancaran ladang solar berkapasiti 43 megawatt-peak itu membuktikan peralihan tenaga negara di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara diterjemahkan melalui pelaburan sebenar ke arah sasaran 70 peratus kapasiti terpasang TBB menjelang 2050.
Katanya, kerjasama antara Gading Kencana dan Intel yang memeterai perjanjian selama 15 tahun bagi pembelian 53,000 Sijil Tenaga Boleh Baharu setiap tahun membuktikan komitmen kelestarian korporat mampu menyokong pertumbuhan pemaju tenaga tempatan.



