KEPULANGAN Datuk Seri Najib Razak ke kediamannya menerusi pelaksanaan tahanan rumah bukan sekadar menutup satu babak dalam perjalanan kes perundangan.
Sebaliknya, perkembangan ini membuka persoalan lebih besar mengenai keadilan, ketelusan institusi, integriti kepimpinan dan kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran negara.
Lebih menarik, perkara ini berlaku ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sedang berlangsung. Maka, kesannya tidak mungkin terhenti di Kuala Lumpur, sebaliknya berpotensi menjadi sebahagian daripada pertimbangan politik pengundi yang bakal menentukan komposisi kerajaan negeri.
Untuk memahami kemungkinan kesannya, kita perlu melihat kembali PRU14 pada tahun 2018.
Ketika itu, isu 1MDB, skandal kewangan, rasuah dan persoalan kleptokrasi menjadi antara faktor besar yang mencetuskan krisis kepercayaan terhadap pentadbiran UMNO-BN sehingga akhirnya kerajaan yang memerintah lebih enam dekad itu tumbang.
Najib ketika itu bukan sekadar berhadapan dengan kritikan politik, tetapi menjadi wajah utama kepada perdebatan mengenai integriti kepimpinan dan pertanggungjawaban terhadap wang rakyat.
Pengajaran PRU14 cukup jelas, apabila kepercayaan rakyat mula terhakis, kedudukan politik yang dianggap kukuh sekalipun tidak menjamin kelangsungan kuasa, lebih-lebih lagi hari ini, di mana UMNO sudah tidak mendominasi.
Lapan tahun kemudian, persoalan berkaitan integriti dan kepercayaan institusi kembali menjadi perhatian melalui perkembangan terbaharu melibatkan Najib.
Walaupun konteks perundangannya berbeza, persepsi masyarakat terhadap isu ini tidak boleh diketepikan, khususnya apabila ia berlaku dalam suasana pilihan raya.
Di sinilah segmen pengundi muda Melaka perlu diberikan perhatian.
Dengan pengundi berusia 18 hingga 39 tahun membentuk 47.34 peratus daripada keseluruhan 687,697 pengundi berdaftar, kelompok ini mewakili hampir separuh daripada kekuatan pengundi negeri tersebut.
Generasi muda hari ini bukan sekadar melihat politik melalui sentimen kepartian, bukan sekadar merah atau biru semata-mata. Mereka berani untuk bersuara dan mengkritik secara terbuka.
Mereka mempunyai akses kepada maklumat, mengikuti perkembangan nasional dan semakin mempunyai ruang untuk mempersoalkan tindakan pemimpin, termasuk soal ketelusan, integriti, rasuah serta pertanggungjawaban terhadap institusi negara melalui undi-undi mereka.
Dalam konteks ini, isu tahanan rumah Najib boleh menjadi satu lagi ukuran terhadap persepsi pengundi mengenai kesamarataan di sisi undang-undang dan kepercayaan terhadap institusi keadilan.
Hari ini, sebahagian besar masyarakat mempersoalkan implikasi perkembangan isu berkaitan Najib terhadap prinsip akauntabiliti kepimpinan.
Termasuk di Melaka. Isu Najib menjadi perbualan dalam kalangan pengundi terutamanya gen Z yang sering dikritik sebagai generasi ‘manja’. Mereka bukan manja, mereka sebenarnya rasional.
Adakah pola penolakan yang pernah berlaku pada PRU14 akan kembali muncul di Melaka? Sejarah sifatnya sentiasa berulang. Kita lihat nanti hasilnya, jika bukan pada PRN maka pada PRU akan datang.
*Suwadi Guliling ialah Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)


