
PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump, selaku Pengerusi Lembaga Keamanan Gaza, menjemput Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, untuk menyertai badan antarabangsa itu, menurut Kementerian Luar Pakistan pada Ahad.
Jurucakap kementerian berkenaan, Tahir Andrabi, dalam kenyataan ringkas berkata Perdana Menteri Pakistan telah menerima jemputan rasmi daripada Presiden Amerika Syarikat untuk menyertai Lembaga Keamanan Gaza, lapor Anadolu.
Beliau berkata, Pakistan kekal komited menyokong usaha antarabangsa ke arah keamanan dan keselamatan di Gaza, sekali gus mendorong penyelesaian berkekalan terhadap isu Palestin selaras dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan tempoh atau skop penglibatan Pakistan dalam badan berkenaan.
Pada Jumaat lalu, Rumah Putih mengumumkan penubuhan Lembaga Keamanan Gaza bagi memainkan peranan penting dalam pelaksanaan 20 perkara pelan Presiden Trump untuk menamatkan konflik bersenjata Israel di Gaza secara kekal dan membangunkan semula wilayah itu.
Menurut kenyataan berkenaan, lembaga itu bertanggungjawab menyediakan pengawasan strategik, menggerakkan sumber antarabangsa serta memastikan kebertanggungjawaban sepanjang proses peralihan Gaza daripada konflik kepada keamanan dan pembangunan.
Amerika Syarikat turut menubuhkan Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza bagi melaksanakan fasa kedua Pelan Komprehensif Trump untuk Menamatkan Konflik Gaza, selain menubuhkan Lembaga Eksekutif Pengasas dan Lembaga Eksekutif Gaza bagi menyokong rangka kerja peralihan.
Trump sebelum ini turut menjemput beberapa ketua negara dan ketua kerajaan lain untuk menyertai Lembaga Keamanan Gaza, termasuk Presiden Türkiye, Recep Tayyip Erdogan.







