
BETONG – Selepas 16 tahun menyepi, kemeriahan sorakan di tebing Sungai Layar kembali bergema menerusi penganjuran Regatta Betong 2026 yang menyasarkan pemerkasaan warisan budaya serta pemangkin ekonomi setempat.
Acara sukan air bersejarah itu bukan sekadar perlumbaan perahu, malah menjadi simbol perpaduan komuniti yang telah bertapak sejak zaman Rajah Brooke pada tahun 1873.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, penganjuran semula regatta ini merupakan detik yang dinantikan oleh seluruh warga Betong.
“Regatta Betong yang telah lama terhenti selama 16 tahun kini kembali lagi supaya masyarakat di sini dapat berentap semula di Sungai Layar dalam suasana harmoni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Regatta Betong Edisi 2026 di Astaka Utama Regatta, Waterfront Betong, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Gerald menggesa usahawan tempatan untuk memanfaatkan sepenuhnya kunjungan pelancong sepanjang acara berlangsung.
Menurut beliau, kehadiran pengunjung luar mampu merancakkan sektor perniagaan kecil, industri kreatif, serta mempromosikan produk unik keluaran penduduk Betong.
“Saya galakkan para usahawan merebut peluang memasarkan produk masing-masing.
Ini adalah platform terbaik untuk meningkatkan pendapatan dan memacu ekonomi kawasan kita,” jelasnya lagi.
Edisi kali ini menyaksikan penyertaan sengit daripada 30 pasukan yang melibatkan pelbagai kategori termasuk kategori Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), jabatan kerajaan dan kategori wanita.
Selain lumba perahu, pelbagai aktiviti menarik disusun sepanjang Regatta Betong, antaranya Jualan MADANI, gerai produk tempatan, sukan rakyat, pertandingan memancing, pameran agensi kerajaan dan swasta, pertandingan seni kraf tangan, memasak, dan mewarna.
Dalam kegembiraan meraikan pesta tersebut, Gerald turut menitipkan pesanan supaya masyarakat menjaga kebersihan Sungai Layar dan fasiliti di Tebingan Sungai Betong.
Tegas beliau, kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan tiada pencemaran berlaku yang boleh mengundang penularan penyakit atau merosakkan imej kawasan pelancongan tersebut.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr Richard Rapu; ADUN Engkelili, Dr Johnical Rayong Ngipa; Residen Bahagian Betong, Datuk Richard Michael Abunawas serta Pegawai Daerah Betong, Laga Kueh.
Foto: UKAS





