
AGENSI Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) memberi amaran risiko penularan penyakit di Semenanjung Gaza kini berada pada tahap tertinggi, susulan kegagalan kanak-kanak mendapatkan vaksinasi penting dalam tempoh lebih dua tahun konflik berterusan.
Pesuruhjaya Agung UNRWA, Philippe Lazzarini, berkata kanak-kanak di Gaza berulang kali terlepas imunisasi rutin yang diperlukan bagi melindungi mereka daripada penyakit yang boleh dicegah sejak konflik bermula.
“Dalam tempoh lebih dua tahun perang di Gaza, kanak-kanak terus dinafikan vaksin yang diperlukan untuk memastikan keselamatan dan kesihatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, semalam, lapor Anadolu.
Beliau berkata, keadaan cuaca musim sejuk yang teruk termasuk suhu melampau, hujan lebat dan banjir memburukkan lagi risiko kesihatan di wilayah berkenaan.
“Situasi ini menambah kepada risiko penyakit yang sudah pun berada pada tahap tertinggi akibat perkhidmatan air dan sanitasi yang teruk, penempatan perlindungan yang sesak serta keruntuhan sistem kesihatan,” katanya.
Menurut Lazzarini, pasukan UNRWA dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan rakan tempatan telah memulakan pusingan kedua kempen vaksinasi susulan pada Ahad, menyasarkan kanak-kanak bawah usia tiga tahun.
“Vaksinasi dalam keadaan seperti ini adalah lebih penting daripada sebelumnya,” katanya sambil menegaskan UNRWA akan terus berusaha menyelamatkan nyawa di Gaza.







