
SIBU – Cadangan untuk memperluaskan program Jom Masuk Universiti (JMU) kepada tiga zon utama di Sarawak dilihat mampu meningkatkan capaian maklumat pendidikan tinggi khususnya dalam kalangan pelajar luar bandar.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, pendekatan berasaskan zon itu dapat memastikan penyertaan pelajar lebih menyeluruh tanpa bergantung kepada satu lokasi penganjuran sahaja.
“Pelaksanaan JMU secara lebih tersusun mengikut zon akan memudahkan pelajar serta ibu bapa mendapatkan pendedahan berkaitan peluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.”
Katanya, usaha itu juga penting dalam merapatkan jurang akses pendidikan antara kawasan bandar dan pedalaman selaras dengan agenda pembangunan modal insan negeri.
“Melalui pendekatan ini, kita dapat membawa maklumat terus kepada komuniti, sekali gus memberi peluang lebih luas kepada pelajar untuk membuat pilihan pendidikan yang tepat,” ujarnya ketika Majlis Perasmian Karnival Jom Masuk Universiti 2026 Zon Sarawak II di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud Universiti Teknologi Sarawak (UTS) pada Sabtu.
Beliau turut menegaskan inisiatif berkenaan bukan sahaja membantu meningkatkan kesedaran mengenai laluan pendidikan tinggi malah menyokong hasrat kerajaan Sarawak untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir.
Cadangan tersebut dijangka dapat memperkukuh peranan JMU sebagai platform utama penyampaian maklumat pendidikan sekali gus memastikan lebih ramai pelajar Sarawak tidak tercicir daripada peluang melanjutkan pengajian.
Foto: Facebook YB Annuar Rapaee





