
MIRI — Kerajaan Sarawak terus komited memperkukuhkan usaha pembangunan Miri sebagai hab ekonomi utama di wilayah utara yang lebih dinamik, berdaya saing serta berteraskan pembangunan mampan.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, kestabilan politik serta sokongan padu rakyat merupakan asas penting dalam memastikan pelaksanaan projek pembangunan berskala besar dapat direalisasikan dengan jayanya.
Menurut beliau, tanpa perpaduan dan kestabilan, usaha kerajaan melaksanakan projek bernilai bilion ringgit yang sedang mengubah landskap pembangunan Sarawak akan berdepan kesukaran.
“Tanpa kestabilan dan perpaduan rakyat, sukar untuk kita melaksanakan projek-projek besar yang sedang memacu perubahan di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Miri 2026, pada Sabtu.

Program SKS yang berlangsung selama tiga hari bermula 24 hingga 26 April itu menyasarkan kehadiran sekitar 20,000 pengunjung dengan pelbagai perkhidmatan kerajaan disediakan bagi memudahkan urusan rakyat secara langsung.
“Penganjuran program ini mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pendekatan inklusif berteraskan prinsip ‘No One Left Behind’ bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati semua lapisan masyarakat,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan bahawa Miri kini tidak lagi bergantung kepada sektor minyak dan gas semata-mata, sebaliknya berkembang sebagai hab ekonomi moden yang turut merangkumi sektor pelancongan, pendidikan dan perkhidmatan.
“Kedudukan strategik Miri sebagai pintu masuk ke Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Negara Niah turut memperkukuh potensinya sebagai destinasi pelancongan utama,” ujarnya.
Mengulas pembangunan infrastruktur, beliau memaklumkan projek pendalaman laluan masuk Pelabuhan Miri di Kuala Baram bernilai RM208.9 juta bakal merangsang industri maritim termasuk aktiviti pembaikan kapal, logistik serta kemasukan kapal persiaran.
“Projek tersebut dijangka menarik pelaburan asing selain membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada penduduk tempatan,” ujarnya lagi
Tambah beliau, pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo serta Sabah Sarawak Link Road menjadi pemangkin kepada integrasi wilayah, sekali gus membantu mengurangkan kos logistik.
Selain itu, projek rangkaian jalan Miri-Marudi-Mulu-Long Lama-Long Panai (3M2L) turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan akses ke kawasan pedalaman serta merangsang pertumbuhan sosioekonomi dan pelancongan.
Dalam aspek mobiliti bandar, beliau memaklumkan perkhidmatan Miri City Free Smart Bus yang diperkenalkan sejak Oktober 2024 telah merekodkan lebih 1.28 juta penumpang setakat Mac lalu.
“Ia menunjukkan perubahan positif dalam corak penggunaan pengangkutan awam serta langkah awal ke arah sistem mobiliti pintar di bandar ini,” ujarnya lagi.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa projek naik taraf Lapangan Terbang Miri dijangka bermula tahun ini, manakala Kompleks ICQS Sungai Tujoh kini berada di peringkat akhir dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada 1 Mei bagi melancarkan urusan sempadan.
Dalam masa sama, pembangunan bandar pintar Kenyalang Smart City menerusi kerjasama dengan Fudan University dijangka memperkukuh ekosistem pendidikan serta penyelidikan di Miri.
Kim Shin menegaskan, semua inisiatif ini selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menyasarkan Miri sebagai antara bandar utama di Borneo.
“Kerajaan bukan sahaja memacu pembangunan, tetapi memastikan manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh oleh rakyat,” tambahnya.





