Sarawak tekankan pembangunan Miri, ekonomi baharu dan pendidikan masa depan

MIRI — Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus memacu pembangunan Miri sebagai hab ekonomi baharu berasaskan pelancongan, pelabuhan dan teknologi.

Menurut beliau, Miri mempunyai potensi besar untuk menjadi bandar bertaraf antarabangsa melalui pembangunan Pelabuhan Miri di laut dalam, yang dicadangkan terletak kira-kira tujuh hingga lapan kilometer dari pesisir Kuala Baram.

“Pelabuhan ini akan menjadi titik keluar utama eksport seperti kelapa sawit, balak dan produk baharu dari kawasan industri di Miri, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi serta membuka peluang kepada industri pelancongan termasuk kapal persiaran,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan kepimpinan negeri termasuk Datuk Douglas Uggah Embas dan Datu Awang Tengah Ali Hasan atas usaha berterusan dalam pembangunan Sarawak.

Pembangunan Miri juga akan dipacu melalui kekuatan sektor pelancongan dengan kelebihan memiliki dua tapak Warisan Dunia UNESCO iaitu Taman Negara Gunung Mulu dan Gua Niah.

Kerajaan negeri akan memperkukuh akses ke kawasan tersebut termasuk pembangunan jalan raya dari Miri ke Marudi, Mulu dan kawasan Baram bagi merancakkan aktiviti ekonomi serta pelancongan.

“Baram tidak lagi akan menjadi kawasan pedalaman apabila jaringan infrastruktur siap sepenuhnya.

“Ini akan membuka peluang dalam sektor pertanian moden termasuk penanaman kopi serta produk berasaskan teknologi,” jelasnya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut mengambil alih jalan-jalan balak untuk dijadikan laluan awam secara percuma, sekali gus memudahkan pergerakan rakyat di kawasan luar bandar.

Menyentuh masa depan ekonomi, beliau menekankan keperluan Sarawak beralih kepada ekonomi berasaskan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), automasi dan tenaga baharu seperti hidrogen.

“Perubahan teknologi berlaku sangat pantas. Kita perlu melengkapkan generasi muda dengan ilmu terkini supaya mampu bersaing dalam ekonomi masa depan,” ujarnya.

Inisiatif pendidikan percuma di peringkat universiti untuk anak Sarawak turut ditegaskan sebagai langkah penting dalam membangunkan modal insan berkualiti.

Selain itu, beliau menyentuh potensi Gua Niah sebagai antara penempatan manusia terawal di dunia berdasarkan kajian terkini, sekali gus menjadikannya destinasi penting bagi penyelidikan sejarah dan pelancongan global.

Dalam ucapannya, beliau menyeru rakyat Sarawak agar terus bersatu padu tanpa mengira kaum demi memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Perpaduan adalah kekuatan kita. Dengan usaha bersama, kita mampu menjadikan Sarawak antara wilayah paling maju di Malaysia dan berperanan penting di rantau ASEAN,” tambahnya.

Beliau mengakhiri ucapan dengan menyeru generasi muda agar memanfaatkan peluang pendidikan dan teknologi demi masa depan Sarawak yang lebih gemilang.

Related Posts

Seraheng Kakan buka tirai Pesta Kaul, tarik kehadiran pelawat

MUKAH – Upacara tradisi Seraheng Kakan terus menjadi pembuka tirai utama Pesta Kaul masyarakat Melanau, dengan peningkatan kehadiran pelawat yang sekali gus merancakkan semula sektor ekonomi dan perniagaan tempatan. Timbalan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Regatta Betong 2026: Sukan warisan kembali selepas 16 tahun menyepi

BETONG – Selepas 16 tahun menyepi, kemeriahan sorakan di tebing Sungai Layar kembali bergema menerusi penganjuran Regatta Betong 2026 yang menyasarkan pemerkasaan warisan budaya serta pemangkin ekonomi setempat. Acara sukan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Seraheng Kakan buka tirai Pesta Kaul, tarik kehadiran pelawat

Seraheng Kakan buka tirai Pesta Kaul, tarik kehadiran pelawat

Regatta Betong 2026: Sukan warisan kembali selepas 16 tahun menyepi

Regatta Betong 2026: Sukan warisan kembali selepas 16 tahun menyepi

Sarawak cadang perluas JMU, tingkatkan penyertaan pelajar luar bandar ke IPT

Sarawak cadang perluas JMU, tingkatkan penyertaan pelajar luar bandar ke IPT

Miri diperkasa sebagai hab ekonomi utama, pacu pengangkutan pintar

Miri diperkasa sebagai hab ekonomi utama, pacu pengangkutan pintar

Sarawak tekankan pembangunan Miri, ekonomi baharu dan pendidikan masa depan

Sarawak tekankan pembangunan Miri, ekonomi baharu dan pendidikan masa depan

‎APM Sabah diperkukuh, tingkat kesiapsiagaan operasi di Kota Kinabalu ‎

‎APM Sabah diperkukuh, tingkat kesiapsiagaan operasi di Kota Kinabalu ‎