
PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman perlu membuat aduan sekiranya benar dakwaan pihaknya ditekan secara tidak sah oleh pasukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, SPRM beroperasi mengikut undang-undang yang membenarkan individu mendapatkan peguam dan membuat aduan sekiranya terdapat sebarang bentuk tekanan atau layanan tidak adil.
Jelasnya, keperluan untuk dilakukan berikutan dakwaan ‘ditekan’ sering digunakan untuk mengalihkan perhatian terutama membabitkan naratif politik tertentu.
“Jika benar mereka ditekan secara tidak sah, mereka boleh membuat laporan kepada badan berkaitan seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) atau pihak mahkamah.
“Sekiranya dakwaan itu sahih, pihak Syed Saddiq sewajarnya melaporkan perkara itu melalui saluran rasmi dan bukan sekadar membuat kenyataan di media sosial,” katanya menerusi kenyataan, pada Ahad.

Jais berkata demikian selepas tular di media sosial klip video mendakwa Syed Saddiq dan keluarganya ditekan sepanjang proses siasatan kes penyelewengan dana membabitkan Ahli Parlimen Muar itu.
Klip video berdurasi satu minit 40 saat tular di media sosial itu memaparkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abdul Aziz di TikTok mendakwa Syed Saddiq dan keluarganya ditekan sepanjang proses siasatan itu.
Dalam video itu Amira Aisya mendakwa, sejumlah rakan-rakannya disiasat secara kasar dan tidak beretika dan mengaku telefon bimbitnya diambil ketika dibawa ke pejabat SPRM walaupun dirinya bukan salah seorang daripada suspek.
Mengulas lanjut, Jais menegaskan,
SPRM mempunyai prosedur ketat dalam menjalankan siasatan, termasuk pematuhan terhadap peraturan hak asasi dan keperluan mendapatkan maklumat secara sah.
Tegas, suruhanjaya terbabit seperti kebanyakan agensi penguatkuasaan lain yang mempunyai prosedur keselamatan ketat termasuk larangan tertentu di dalam premis mereka.
“Ini bermakna hanya individu yang mendapat kebenaran khas boleh membawa masuk telefon bimbit atau sebarang peranti elektronik. Ia dalah langkah keselamatan yang diamalkan dalam banyak agensi penguatkuasaan di seluruh dunia.
“Pegawai SPRM tertakluk kepada undang-undang dan kawal selia yang ketat dalam menjalankan tugas mereka,” katanya.





