
KANGAR – Harga daging lembu dan tulang serendah RM20 sekilogram memberi kelegaan kepada lebih 2,000 penduduk yang hadir ke program jualan amal di pekarangan Ibu Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kangar, malam tadi.
Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, langkah menawarkan harga rendah itu dibuat bagi membantu rakyat mengurangkan perbelanjaan menjelang sambutan Aidilfitri.
“Kita tahu sekarang kos sara hidup tinggi, jadi kami ambil inisiatif tawarkan harga RM20 sekilo, jauh lebih murah daripada harga pasaran,” katanya.
“Melihat sambutan malam ini, saya percaya program sebegini sedikit sebanyak beri kelegaan kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi program.
Penjualan daging bermula sekitar pukul 9.30 malam dan dalam masa sejam setengah, sebanyak satu tan daging lembu tempatan habis diagihkan kepada pembeli.
Menurut Fathul Bari, sebanyak enam ekor lembu ditumbangkan dengan anggaran keseluruhan lebih 11 tan daging untuk jualan kali ini.
Beliau berkata, sistem kupon diperkenalkan lebih awal bagi memastikan suasana jual beli berjalan dengan teratur dan selesa.

“Kita tak mahu orang berebut, jadi kupon diedar lebih awal, lepas solat berjemaah terus kita mula proses jualan,” ujarnya.
Penganjur turut menyediakan roti, air mineral dan makanan ringan kepada pengunjung yang hadir bersama ahli keluarga termasuk kanak-kanak dan warga emas.
Katanya, pendekatan jualan pada waktu malam diambil bagi memberi keselesaan kepada orang ramai yang berpuasa pada siang hari.
Beliau menegaskan program itu adalah sebahagian daripada khidmat sosial UMNO Kangar tanpa sebarang motif politik.





