Trend beli-belah di kedai masih hidup, peniaga ‘buang harga’ tarik pelanggan

SETIAP kali tibanya Ramadan, Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur sudah pasti tidak akan sunyi dengan kehadiran pengunjung yang mahu membuat persiapan hari raya terutamanya menjelang 10 malam terakhir Ramadan, di mana terdapat pelbagai promosi besar-besaran yang ditawarkan bagi menambat hati pengunjung.

Tinjauan The Malaysia Press di sekitar premis jualan di sana mendapati, walaupun terdapat persaingan di antara platform membeli-belah dalam talian (online) seperti Shopee dan TikTok, orang ramai masih tidak melepaskan peluang untuk berbelanja persiapan hari raya secara fizikal di premis jualan di sini.

Dengan penawaran barangan setanding kualiti di butik mewah, promosi jualan langsung dan harga yang berpatutan serta pelbagai pilihan menarik, Bazar Aidilfitri dan premis jualan di sekitar Jalan TAR dan Jalan Masjid India sudah pasti akan dibanjiri dengan pengunjung yang mahukan pengalaman membeli dengan mudah di sini.

Menurut sekumpulan pengunjung daripada Sarawak, walaupun terdapat pilihan baju Melayu yang dijual lebih murah dalam talian, namun mereka lebih berpuas hati untuk turun sendiri ke Jalan TAR dan kedai-kedai di sini bagi mendapatkan kualiti terbaik dan kepuasan dalam berbelanja.

(Dari kiri) Rushdan, Danish, Mohd Firdaus, Syahmir

“Murah tidak menjamin kualiti, itu pesanan saya kepada rakyat Malaysia, kalau dekat kedai lebih senang untuk kita nilai kualiti, senang untuk bandingkan harga antara kedai, sebab lain jenama lain harga, jadi senang untuk bandingkan harga.

“Kalau beli ‘online’, jika tersalah ambil saiz, sukar untuk membuat pertukaran semula dan prosesnya juga akan ambil masa, tapi kalau dekat sini (kedai), boleh tawar-menawar dan dapatkan harga seperti yang diingini.

“Macam kami sudah biasa datang sini (Jalan TAR) untuk buat persiapan raya dan lebih suka untuk beli secara fizikal sebab senang nak tengok saiz, jenis kain, kami pun ‘complicated’ macam perempuan juga malah yang menarik di sini boleh buat tengok-tengok dahulu dan buat perbandingan harga sebelum membeli,” katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Lain pula menurut Aisyah, 22, yang lebih gemar untuk berbelanja kelengkapan hari di kedai kerana mahu melihat sendiri warna pakaian yang mahu dibeli selain hanya melihat melalui skrin telefon yang kadang-kadang tidak tepat seperti warna sebenar yang ditayangkan.

Aisyah (kanan)

“Alhamdulillah persiapan raya sudah 50 peratus, sekarang saya ronda di kedai dan lagi memilih untuk datang dekat kedai sebab di sini boleh lihat sendiri warna sebenar baju dan tudung yang dijual berbanding beli ‘online’ kerana warna pakaian yang dipaparkan di dalam skrin telefon boleh berubah mengikut pencahayaan dan teknik kamera.

“Saya juga agak cerewet, jadi saya lebih memilih untuk membeli secara fizikal di kedai walaupun sedikit penat untuk berjalan-jalan sewaktu berpuasa tetapi pengalaman membeli-belah itu memuaskan,” katanya.

Bagi peniaga pula, menurut seorang peniaga baju raya butik, Nur Fatin Farhana, 25, walaupun sambutan pelanggan tahun ini agak mencabar berbanding tahun-tahun sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu yang lebih meriah, namun dia tetap akan menawarkan promosi yang menarik kepada pengunjung menjelang akhir Ramadan nanti.

“Sambutan tahun ini agak mencabar, ditambah lagi dengan persaingan yang agak sengit diantara peniaga secara langsung di sini dengan platform membeli-belah dalam talian yang menawarkan fungsi ‘beli dahulu, bayar kemudian’ (BNPL) seperti ‘Shopee Pay Later’.

“Kalau nak cerita pasal balik modal itu untuk tapak, sudah balik modal tapi untuk item baju di sini belum lagi tetapi kita mengharapkan kunjungan yang lebih meriah daripada pengunjung menjelang akhir Ramadan nanti, namun setakat ini sambutan pengunjung pada waktu malam juga amat memberangsangkan berbanding siang hari.

“Memang ada datang untuk tawar menawar harga, dan kita boleh bagi kurang , insya-Allah malam raya kita akan buat promosi habiskan semua stok sebab tidak mahu balik ke butik, mungkin akan bagi diskaun 20 peratus, tapi baju yang kami jual pun tidak mahal, yang paling mahal hanya RM220, yang paling murah pun ada serendah RM50,” katanya.

Menurut Ilya, 26, peniaga minyak wangi Nouha Exclusives pula, bagi perniagaan minyak wangi, kebanyakan pelanggan yang berkunjung ke tapak jualannya, akan membeli walaupun hanya sebotol dan tidak sekadar datang mengambil ‘bau’ sahaja.

“Dah masuk 10 malam terakhir ini, Alhamdulillah setakat ini masih okay dan masih ada pelanggan yang berkunjung walaupun sudah lewat malam sehingga pukul 1-2 pagi, kami buka sampai pukul 3 pagi, masih ada pengunjung, biasanya selepas waktu balik kerja memang ramai.

“Untuk perniagaan minyak wangi, modal tidak tinggi seperti barangan lain jadi Alhamdulillah setakat hari ini, boleh dikatakan sudah balik modal, mungkin rezeki datang berganda-ganda selepas kejadian ribut baru-baru ini, selama tiga minggu dekat sini, jualan agak memberangsangkan berbanding tahun lepas di mana saya hanya berniaga sekejap,” ujarnya.

Menariknya menurut Roslan, 54, yang sudah berniaga biskut raya selama 21 tahun di Jalan TAR, pada permulaan Ramadan dahulu, jualannya agak perlahan dan dia terpaksa memikir cara untuk menarik pelanggan iaitu dengan mengekalkan harga biskut Rahmah serendah RM20 satu balang.

“Saya sudah dah berniaga dekat sini selama 21 tahun melibatkan serunding, kuih raya dan kerepek, permulaan hari itu, agak perlahan sedikit, mungkin orang berhati-hati tetapi mengikut jualan yang lepas-lepas, alhamdulillah sangat memberangsangkan.

“Rezeki itu ada cuma kita kena pandai olah untuk tarik pelanggan, saya masih lagi jual dengan harga Rahmah atau harga marhaen iaitu satu balang RM20, maklum balas daripada pelanggan juga okay, kadang-kadang ada juga buat siaran langsung di platform media sosial dan ada pembeli daripada Brunei, Singapura.

“Malah untuk pembeli di sini (Jalan TAR) sudah pasti saya boleh bagi diskaun kalau beli banyak, dan ada juga sediakan ‘tester’ biskut untuk pelanggan rasa sendiri sebelum membeli,” katanya.

Bagaimanapun, seorang peniaga selipar dan kasut di Bazar Aidilfitri Jalan TAR, Zura, 30, berkata, walaupun sudah menginjak ke 10 akhir Ramadan, namun jualannya masih kurang memberangsangkan ditambah pula dengan persaingan dalam talian.

“Tahun ini kurang meriah sikit berbanding tahun lepas walaupun sudah akhir, namun masih tidak bertambah, jualan makin turun adalah, sebab peniaga sini pun bersaing dengan ‘online’, memang sunyi walaupun tinggal sembilan hari lagi nak raya.

“Mungkin nanti akan ‘buang harga’ untuk habiskan mana yang boleh, selain itu, kebanyakan yang datang memang akan bandingkan antara harga ‘online’ dengan dekat kedai, kita sebagai peniaga sedih dan kecewa juga sebab pelanggan bandingkan harga, kami di kedai ini kerah tenaga, sewa tapak lagi. Kalau beli ‘online’ kan free, tiada apa-apa caj.

‘Kita tidak boleh nak paksa sebab itu hak pembeli, mereka lebih senang beli ‘online’ tapi kalau boleh kena sokong juga peniaga jualan langsung macam kami, jangan sekadar datang, bandingkan harga, tengok kualiti dan akhirnya beli ‘online’ sahaja, kami tidak ambil untung banyak pun, cukup-cukup makan sahaja,” katanya.

Related Posts

Harga ayam, telur di Sabah tinggi: Kebergantungan makanan import sehingga 98% punca utama

KOTA KINABALU – Kebergantungan terhadap makanan haiwan import dikenal pasti sebagai punca utama isu harga ayam dan telur lebih tinggi di Sabah berbanding di Semenanjung. Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Wisma Putra kemas kini nasihat perjalanan ke Asia Barat, termasuk jemaah haji

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar mengemas kini nasihat perjalanan ke rantau Asia Barat dan menggesa rakyat Malaysia termasuk jemaah haji supaya mendaftar keberadaan serta mengemas kini maklumat perhubungan melalui portal…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Inisiatif Kebun Dapur, SAMA perkukuh keterjaminan makanan Sabah – Jamawi

Inisiatif Kebun Dapur, SAMA perkukuh keterjaminan makanan Sabah – Jamawi

Harga ayam, telur di Sabah tinggi: Kebergantungan makanan import sehingga 98% punca utama

Harga ayam, telur di Sabah tinggi: Kebergantungan makanan import sehingga 98% punca utama

Sidang DUN Perlis minggu depan ditangguhkan

Sidang DUN Perlis minggu depan ditangguhkan

Wisma Putra kemas kini nasihat perjalanan ke Asia Barat, termasuk jemaah haji

Wisma Putra kemas kini nasihat perjalanan ke Asia Barat, termasuk jemaah haji

Malaysia peroleh 785 hektar wilayah hasil pemuktamadan sempadan

Malaysia peroleh 785 hektar wilayah hasil pemuktamadan sempadan

Jangan guna media sosial sebar hasutan

Jangan guna media sosial sebar hasutan