
NEW DELHI – Sebanyak 26 mayat mangsa dibawa keluar dari kompleks beli-belah Gul Plaza di bandar raya Karachi, Pakistan, manakala puluhan lagi masih belum ditemui.
Sekumpulan 200 anggota bomba mengambil masa lebih 24 jam memadamkan kebakaran yang berlaku pada Sabtu malam di plaza bertingkat yang menempatkan kira-kira 1,200 kedai dan 4,500 pekerja itu.
Ketua Menteri Wilayah Sindh, Murad Ali Shah semalam mengumumkan pampasan 10 juta rupee Pakistan (RM144,738) bagi setiap keluarga mangsa yang terkorban.
Seramai 65 individu masih belum dipastikan di mana berada, menurut laporan media tempatan.
Pihak berkuasa tempatan Karachi Metropolitan Corporation mula membersihkan Gul Plaza selepas api dipadamkan.
Tragedi itu mengejutkan penduduk bandar besar kosmopolitan Pakistan dan hab komersial itu.
Penduduk yang berhimpun berhampiran lokasi kejadian menyalahkan penguatkuasaan undang-undang bangunan yang lemah dan langkah kawalan kebakaran tidak mencukupi susulan kebakaran yang memusnahkan kesemua aras kompleks itu.
Siasatan sedang dijalankan dan pihak yang didapati cuai akan dikenakan tindakan, jurucakap kerajaan Sindh, Nadir Nabil Gabol memberitahu sebuah saluran televisyen.







