
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memilih untuk tidak mengulas lanjut berhubung kenyataan UMNO Negeri Sembilan yang dilaporkan bersedia menjadi pembangkang di negeri itu.
Beliau berkata, kenyataan tersebut masih belum jelas dan tidak wajar diperbesarkan sehingga boleh menimbulkan kekeliruan dalam landskap politik negeri.
“Kenyataan UMNO itu belum jelas, jadi saya tidak mahu mengulas lanjut. Pada saya, isu ini tidak perlu dibesar-besarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di sini, hari ini.
Menurut beliau, isu berkaitan institusi diraja juga tidak berbangkit kerana beliau telah mendengar pandangan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Katanya, Kerajaan Persekutuan berpegang kepada prinsip menghormati sistem beraja serta mematuhi titah Tuanku agar pentadbiran negeri kekal stabil, termasuk meneruskan kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, sehingga keadaan sebenar dapat dinilai.
“Isunya tidak berbangkit kerana kita patuh kepada Titah Diraja supaya keadaan negeri stabil, Menteri Besar diteruskan dan kita lihat sama ada benar wujud kehilangan sokongan,” katanya.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, sebagai gabungan yang mendukung sistem beraja berperlembagaan, PH akan terus menghormati adat, peraturan dan undang-undang yang menjadi sebahagian daripada sistem pemerintahan di Negeri Sembilan.
Beliau menambah, perkara itu turut ditekankan kepada Menteri Besar agar selain mematuhi titah Tuanku Yang di-Pertuan Besar, pentadbiran negeri perlu terus menyantuni adat Perpatih serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa di negeri itu.
Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan UMNO Negeri Sembilan yang menyatakan kesediaan parti itu untuk menjadi pembangkang berbanding bersama PH dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa isu tersebut tidak seharusnya dianggap sebagai krisis muktamad, sebaliknya Kerajaan Persekutuan akan terus menyokong usaha memastikan kestabilan politik serta kesinambungan pentadbiran negeri demi kepentingan rakyat.






