
PUTRAJAYA – Malaysia masih berada dalam kedudukan kukuh dari segi bekalan minyak dan gas berbanding negara ASEAN lain, namun tidak terlepas daripada kesan kenaikan harga di peringkat global, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menegaskan, kerajaan terus berusaha melindungi rakyat dengan mengekalkan subsidi bahan api RON95 pada harga RM1.99 walaupun berdepan tekanan kenaikan harga minyak dunia.
“Kita agak nasib baik Malaysia antara negara ASEAN yang terjamin bekalan minyak dan gasnya. Semalam Tan Sri Mohd Hassan Marican (Pengerusi Pasukan Petugas Pengurusan Krisis MTEN) bagi maklumat terkini dari Petronas mengenai usaha-usaha kita.
“Jadi dari segi bekalan (tiada masalah) tapi harga meningkat. Ini bukan masalah yang berpunca dari kita tapi yang berlaku dan sekarang yang harus kita kawal.
“Sebab itulah maka kita terpaksa berdepan dengan harga minyak di Malaysia, namun Malaysia masih pertahankan (subsidi) RON95,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, Timbalannya, Syed Ibrahim Syed Noh serta Ketua Setiausaha NRES, Datuk Anis Rizana Mohd Zainuddin.
Dalam pada itu, beliau menegur kenyataan tidak tepat segelintir pihak berhubung laluan perkapalan dan kesannya terhadap kos bahan api.
Menurutnya, dakwaan bahawa kapal Petroliam Nasional Berhad (Petronas) tidak melalui Selat Hormuz serta negara tidak menanggung kos berkaitan adalah tidak disahkan.
“Setengah orang kata… kapal Petronas tak lalu Selat Hormuz dan kita kena bayar Selat Hormuz. Ini kadang-kadang politik di Malaysia, dia tak kira fakta, tak kira benar, tidak pernah tabayyun, tidak pernah menilai kebenaran dan faktanya,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa keadaan sebenar laluan perkapalan global adalah lebih kompleks, terutama apabila kapal perlu melalui kawasan tertentu yang kini mengalami kesesakan dan berdepan risiko keselamatan.
“Keadaan itu rumit, tidak mudah. Mesti lalu salah satu laluan, tetapi sekarang tersangkut,” katanya.
Menurutnya, situasi tersebut meningkatkan kos operasi termasuk penghantaran, insurans serta keselamatan kapal.
“Bila tersangkut, ada yang kata harga lama… tak betul. Harga itu ditambah, pertama kos bertambah, kedua kos insurans bertambah, ketiga membabitkan keselamatan anak-anak kapal dan syarikat, sebab itu harga melambung tinggi,” katanya.
Mengulas faktor geopolitik, beliau berkata, data semasa menunjukkan kesesakan di Selat Hormuz susulan ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran yang menjejaskan keselamatan maritim.
“Saya menggunakan data masa nyata di Hormuz sekarang. Anda boleh lihat kesesakan di sana.
“Selat itu sempit, menyukarkan jaminan keselamatan kapal, khususnya dengan tekanan daripada Amerika Syarikat dan Iran,” katanya.
Beliau berkata, kapal Malaysia termasuk yang dikendalikan Petronas turut melalui laluan perairan tersebut bersama banyak kapal lain yang berdepan keadaan sama.






