Wanita PKR tegur KJ buat kenyataan dari ‘luar pagar’

PUTRAJAYA – Pemimpin Wanita PKR membidas kenyataan Khairy Jamaluddin yang mendakwa UMNO adalah parti lebih kuat dan kurang dikritik berbanding pesaingnya seperti PKR dan Bersatu.

Exco Wanita PKR, Farahida Fauzi menjelaskan bekas Ketua Pemuda UMNO itu tidak berada dalam lingkungan partinya selama bertahun-tahun.

Justeru, dia menyifatkan kenyataan Khairy ibarat menilai dari ‘luar pagar’.

“Saudara Khairy perlu sedar, bercakap tentang kekuatan dalaman parti tanpa berada dalam lingkungan parti itu sendiri selama bertahun-tahun ibarat menilai dari luar pagar.

“Nampak dekat, tetapi hakikatnya jauh daripada realiti. Dalam hal ini, apa yang cuba dilontarkan lebih mirip tafsiran peribadi, bukan gambaran sebenar.

“Lebih menghairankan, kenyataan ini secara tidak langsung cuba melagakan hubungan antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

“Dalam landskap politik semasa yang menuntut kestabilan dan kerjasama matang, naratif sebegini bukan sahaja tidak membantu, malah memberi ruang kepada pihak tertentu untuk mengambil kesempatan.

“Tanpa disedari, percikan yang dilemparkan itu sebenarnya terkena kembali ke muka sendiri. Ia membuka persoalan tentang keutamaan sebenar di sebalik kenyataan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Pada 2 Mei lalu Khairy yang baru diterima kembali bersama UMNO selepas disingkirkan pada 2023 dilaporkan berkata, walaupun UMNO berdepan tugas sukar untuk mendapatkan semula sokongan rakyat, parti itu masih berada dalam kedudukan yang lebih baik berbanding pesaingnya seperti Bersatu dan PKR.

Beliau juga dilaporkan mendakwa tidak banyak kritikan didengar terhadap menteri dan timbalan menteri UMNO dalam kerajaan sekarang.

“Saya rasa menteri-menteri UMNO menjalankan tugas dengan agak baik, mereka tidak terlibat dalam sebarang skandal besar atau menunjukkan prestasi yang lemah,” katanya.

Khairy turut merujuk ucapan Naib Presiden UMNO dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, yang mengetengahkan pencapaian negeri tersebut serta negeri-negeri lain yang diketuai UMNO.

Sementara itu, Farahida juga menafikan dakwaan yang mengatakan PKR berdepan perpecahan serius, yang menurutnya tidak lebih daripada pengulangan retorik lama.

“Perbezaan pandangan bukan tanda rapuh, tetapi cerminan dinamika parti yang hidup dan berfungsi.

“Yang membezakan ialah keupayaan mengurus perbezaan itu dengan matang, sesuatu yang terbukti terus diperkukuh dalam PKR.

“Namun persoalan yang lebih besar wajar ditanya. Apakah tujuan sebenar kenyataan (Khairy) ini? Adakah ia satu bentuk analisis jujur, atau sekadar usaha mengembalikan relevansi diri dalam gelanggang politik?

“Dalam suasana politik yang semakin matang, rakyat tidak lagi mudah terpesona dengan kenyataan yang bersifat sensasi tetapi kosong dari asas,” katanya lagi.

Related Posts

Pelan kesinambungan bekalan minyak negara diumum pertengahan bulan ini

KUALA LUMPUR – Kerajaan dijangka mengumumkan pelan kesinambungan bekalan minyak negara pada pertengahan bulan ini susulan ketidaktentuan bekalan global akibat konflik berlarutan di Asia Barat dan penutupan Selat Hormuz. Menteri…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PM imbau kenangan bersama SMK Banggi

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengimbau kembali kenangan lawatan beliau ke Sekolah Menengah Kebangsaan Banggi ketika mengadakan kunjungan ke pulau berkenaan baru-baru ini. Menurut beliau, lawatan kali ini cukup…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Rumah api Tanjung Lobang berpotensi diperkasa sebagai tapak warisan sejarah Miri

Rumah api Tanjung Lobang berpotensi diperkasa sebagai tapak warisan sejarah Miri

Pemerkasaan pendidikan dan warisan Bidayuh harus dipelihara

Pemerkasaan pendidikan dan warisan Bidayuh harus dipelihara

Pelan kesinambungan bekalan minyak negara diumum pertengahan bulan ini

Pelan kesinambungan bekalan minyak negara diumum pertengahan bulan ini

Ceelecia dinobat Unduk Ngadau peringkat daerah Sandakan 2026

Ceelecia dinobat Unduk Ngadau peringkat daerah Sandakan 2026

Pesta Kaamatan medan erat hubungan politik tanpa mengira parti – James

Pesta Kaamatan medan erat hubungan politik tanpa mengira parti – James

PM imbau kenangan bersama SMK Banggi

PM imbau kenangan bersama SMK Banggi