PEMAIN catur remaja, Shen Ree Herng menerima Piala PMX ‘Prestasi Terbaik Keseluruhan Peserta Malaysia’ dalam Kejohanan Catur Kumpulan Umur ASEAN+ ke-23 yang berlangsung di Pulau Pinang.
Trofi disampaikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib kepada Ree Herng, 15, dalam Majlis Makan Malam dan Penyampaian Hadiah kejohanan itu malam tadi.
Majlis turut dihadiri Presiden Persatuan Catur Pulau Pinang (PCA) See Swee Sie.
Dalam kejohanan bermula 1 Julai lalu, Ree Herng – yang mewakili Selangor – muncul peserta terbaik negara dalam kategori 16 tahun selepas menduduki tempat kelima daripada 30 peserta.
Kejohanan Catur Kumpulan Umur ASEAN+ ke-23 menghimpunkan lebih 400 bakat muda dalam sukan catur dari 21 negara, termasuk negara anggota ASEAN serta rakan dialog seperti Amerika Syarikat, China, Rusia, India, Korea Selatan dan Jepun.








