
Keyakinan dalam kalangan akar umbi Parti Islam Se-Malaysia dilihat semakin meningkat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), sehingga mencetuskan persoalan sama ada parti itu masih benar-benar memerlukan kerjasama politik bersama Perikatan Nasional dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
Perkembangan itu hadir ketika Pas kini berada pada kedudukan paling dominan dalam sejarah politik semasa parti berkenaan menerusi penguasaan empat negeri SG4 iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Uitm Pahang,Kampus Raub Dr Che Hamdan Che Mohd Razali situasi itu secara tidak langsung membentuk keyakinan baharu dalam kalangan penyokong Pas bahawa kekuatan sebenar parti berkenaan bukan bergantung kepada gabungan politik, sebaliknya bertunjangkan jentera akar umbi serta pengaruh ideologi yang telah dibina sejak puluhan tahun.
Malah, terdapat pandangan bahawa Pas sebenarnya telah membuktikan kemampuan untuk kekal relevan jauh lebih awal sebelum kewujudan PN.
Kelantan misalnya telah dikuasai Pas sejak tahun 1990, manakala Terengganu pula kembali menjadi kubu kuat parti itu sejak 2018.
Dalam PRU15 pula, Pas mencatatkan prestasi terbesar apabila berjaya memperkukuhkan penguasaan politik Melayu di empat negeri utama menerusi gelombang sokongan luar biasa pengundi Melayu-Islam.
Jentera Pas dilihat lebih kukuh
Beliau turut berpandangan bahawa kekuatan terbesar Pas terletak pada struktur organisasi dan disiplin akar umbi yang sukar ditandingi parti-parti lain.
Pas memiliki rangkaian cawangan yang luas, jentera pemuda dan muslimat yang aktif, selain pengaruh institusi pondok, surau dan gerakan tarbiyah yang telah lama berakar dalam masyarakat Melayu luar bandar.
Keadaan itu berbeza dengan Bersatu yang sering dilihat lebih bergantung kepada pengaruh tokoh politik tertentu serta dinamika semasa.
Di banyak kawasan, petugas Pas juga dikatakan menjadi tulang belakang utama gerak kerja pilihan raya PN,tambah beliau
Perkara itu menyebabkan timbul persepsi bahawa kekuatan sebenar gabungan pembangkang hari ini banyak bergantung kepada kemampuan PAS menggerakkan sokongan di peringkat bawah.
SG4 ubah persepsi politik Melayu
Menurut beliau lagi dalam masa yang sama, pentadbiran SG4 turut mula dijadikan simbol kemampuan PAS mentadbir secara lebih tersusun dan stabil tanpa perlu terlalu bergantung kepada parti lain.
Naratif mengenai model pentadbiran SG4 semakin kerap diketengahkan sebagai alternatif kepada politik nasional sedia ada, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu konservatif.
Keadaan itu secara tidak langsung membina sentimen bahawa Pas kini mempunyai identiti politik yang lebih besar daripada sekadar komponen dalam gabungan pembangkang.
Beban Politik rakan gabungan?
Tambah beliau Pas berdepan risiko menanggung kesan daripada isu dalaman rakan gabungan sekiranya terus terlalu terikat dengan PN.
Ini termasuk persepsi terhadap konflik kepimpinan dan ketidakstabilan dalaman Bersatu yang dilihat boleh memberi kesan kepada imej keseluruhan pembangkang.
Dalam keadaan Pas dilihat memiliki sokongan akar umbi yang lebih konsisten, ada pandangan bahawa parti itu mungkin lebih berisiko kehilangan momentum sendiri jika terus dibayangi krisis parti lain.
PRU16 jadi penentu arah baharu?
Walaupun tiada sebarang petunjuk rasmi bahawa Pas akan meninggalkan PN, sentimen dalam kalangan penyokong bahawa parti itu mampu bergerak secara solo dilihat semakin berkembang.
Ramai melihat Pas kini mempunyai semua elemen utama untuk berdiri sendiri termasuk penguasaan negeri, jentera tersusun dan sokongan pengundi teras Melayu-Islam.
Persoalan yang semakin kerap dibangkitkan menjelang PRU16 ialah sama ada Pas akan terus memilih pendekatan bersama gabungan politik, atau mula mempertimbangkan laluan lebih dominan menggunakan kekuatan jenama parti sendiri.
Jika sentimen tersebut terus berkembang di peringkat akar umbi, landskap politik pembangkang negara dijangka berdepan perubahan besar dalam tempoh mendatang.





