
MIRI – Lapangan Terbang Antarabangsa Miri bakal melalui proses pembesaran dan naik taraf berskala besar selepas Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM445 juta di bawah Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, projek tersebut bakal melibatkan penaiktarafan bangunan terminal sedia ada kepada bangunan dua tingkat yang setanding dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
Menurutnya, projek berimpak tinggi itu akan meningkatkan kapasiti pengendalian penumpang daripada dua juta kepada empat juta orang setahun.
“Kelulusan ini merupakan satu pencapaian penting buat Miri. Cadangan awal projek ini dianggarkan bernilai RM150 juta dalam Belanjawan 2024 dan 2025, namun ia kini dipertingkatkan kepada RM445 juta hasil sokongan Kementerian Ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Miri menjelaskan, penaiktarafan itu sangat mendesak memandangkan Lapangan Terbang Miri kini merupakan lapangan terbang keenam paling sibuk di Malaysia dan kedua di Sarawak.
Jelasnya, jumlah penumpang harian melebihi kapasiti asal sejak tahun 2019 dan angka tersebut terus mencatatkan peningkatan mendadak pascapandemik Covid-19.
“Miri berfungsi sebagai pintu masuk utama ke utara Sarawak. Oleh itu, kita memerlukan infrastruktur yang lebih moden, cekap dan selesa bagi menampung pertumbuhan penumpang semasa serta pada masa depan.
“Projek ini juga merangkumi penambahan enam unit jambatan penumpang (Passenger Boarding Bridge – PBB) baharu, menjadikan keseluruhan sembilan unit berbanding hanya tiga unit pada masa ini,” ujarnya.
Tambah Choon Man, kemudahan di situ juga akan diintegrasikan dengan piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), termasuklah penggunaan sistem layan diri automatik untuk proses daftar masuk dan pelepasan.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan kelulusan peruntukan itu bukan sekadar perbelanjaan pembangunan fizikal semata-mata, sebaliknya pelaburan strategik yang mampu memberi pulangan ekonomi besar kepada negara.
Dari sudut pelancongan, beliau optimis infrastruktur baharu itu kelak membolehkan Miri mengendalikan pesawat jenis Airbus A320neo dan Boeing 737 MAX dengan lebih efisien, sekali gus membuka ruang kepada lebih banyak penerbangan antarabangsa baharu khususnya dari China dan Korea.
”Ketika ini, Miri hanya mempunyai satu laluan penerbangan antarabangsa iaitu dari Singapura.
Mendedahkan rahsia di sebalik kelulusan itu, Choon Man memberitahu, beliau sebelum ini telah beberapa kali mengadakan pertemuan bersama-sama Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir bagi menjuarai agenda tempatan.
“Pertemuan itu bertujuan membawa isu dan keperluan pembangunan Miri secara terus ke peringkat Persekutuan.
“Kita memohon agar semua projek infrastruktur Persekutuan yang penting di daerah ini diberikan pertimbangan yang serius serta kelulusan sewajarnya,” jelas beliau.
Sehubungan itu, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kelulusan rasmi projek berkenaan.
Ucapan terima kasih turut dipanjangkan kepada Akmal Nasrullah; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook serta kerajaan Sarawak atas sokongan dan kerjasama utuh merealisasikan projek tersebut.
Beliau berharap proses tender dapat disegerakan agar kerja pembinaan dapat bermula dalam masa terdekat demi memenuhi harapan rakyat Miri.







