
PUTRAJAYA – Kerajaan tidak berkompromi dalam hal keselamatan negara berikutan pengesanan peningkatan aktiviti ejen asing di negara ini, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi berkata, pergerakan ejen-ejen itu dipantau secara berterusan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tindakan sewajarnya akan diambil bagi menjamin keselamatan negara.
Katanya, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail baru-baru ini mengesahkan peningkatan pergerakan ejen asing, berikutan kelantangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan memperjuangkan isu Palestin.
“Tidak dinafikan sejak pendirian kerajaan dan Perdana Menteri yang begitu lantang dalam isu Gaza dan Palestin, beliau adalah antara pemimpin di rantau Asia Tenggara yang paling dipantau oleh elemen-elemen berkenaan.
“Aspek keselamatan tidak ada kompromi dan PDRM sentiasa melakukan pemantauan. Kami juga diberi taklimat dari semasa ke semasa termasuk melalui Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara,” katanya selepas merasmikan Pameran Inovasi Realiti Maya (VR) Kemanusiaan Gaza sempena Karnival Sumud Nusantara di Dataran Merdeka, hari ini.
Fahmi memaklumkan, walaupun keadaan keselamatan masih terkawal, sebarang risiko ancaman tidak boleh dipandang ringan, memandangkan pendirian Malaysia dalam isu Palestin ialah berasaskan prinsip kemanusiaan dan bukannya emosi semata-mata.
Beliau berkata, pendirian Malaysia kekal konsisten sejak sekian lama iaitu menuntut peperangan dan kekejaman rejim Zionis di Gaza dihentikan, selain mengiktiraf kebebasan negara Palestin.
“Cuma bezanya sekarang, Perdana Menteri kita berjaya mengubah pendirian beberapa pemimpin negara lain yang memberi kesan sangat positif.
“Contohnya bekas Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida dan Perdana Menteri Belanda Mark Rutte, mengubah pendirian mereka selepas bertemu Perdana Menteri kita.
“Kerajaan Jepun masih berpegang pada pendirian untuk bekerjasama dengan Malaysia dan negara-negara lain bagi membangunkan semula Gaza.
“Mereka benar-benar ingin mengadakan perbincangan segera mengenai perkara ini dan tidak berlaku sebarang perubahan dalam pendirian,” katanya.






