
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mengkaji untuk menghasilkan sistem membolehkan amaran bencana dihantar terus kepada penduduk tanpa melalui syarikat telekomunikasi.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, usaha membangunkan sistem amaran bencana itu sudah dicadangkan dan diharap dapat dimasukkan dalam Belanjawan 2026.
Beliau berkata, menerusi sistem itu, notifikasi amaran bencana dihantar terus kepada penduduk di lokasi terjejas bencana dengan lebih cepat berbanding menggunakan SMS.
“MCMC tengah kaji nak bangunkan perkhidmatan boleh hantar terus notifikasi selepas MCMC terima maklumat dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berhubung satu-satu bencana yang berlaku,” katanya pada Majlis Serahan Sumbangan Murid Cemerlang dan Pendidikan Pelajar di Dewan Terbuka Jalan Merbuk, Bandar Putra di Kulai, Johor, hari ini.
Beliau yang juga ahli Parlimen Kulai berkata, amaran bencana dihantar menggunakan SMS dan melalui syarikat telekomunikasi mengambil sedikit masa dan tidak tertumpu pada kawasan terjejas.
“Bila guna SMS, kita rasa macam cepat, tetapi bila ramai yang perlu terima mesej itu, ia tetap akan jadi ‘queue’ dalam sistem syarikat telekomunikasi itu, jadi ambil masa.
“Sistem baharu ini, ia akan hantar notifikasi, tidak perlu melalui sistem syarikat telekomunikasi. Sistem ini dah diguna pakai di banyak negara termasuk Jepun.
“Kemudian kita akan terus fokus pada lokasi yang kita terima maklumat dari NADMA, jadi notifikasi itu dapat dihantar dengan cepat ke kawasan itu. Kita lihat ia sangat berkesan dan berguna,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Terdahulu, gegaran gempa bumi lemah bermagnitud 4.1 dilaporkan di Segamat pada jam 6.13 pagi tadi, manakala gegaran lemah kedua bermagnitud 2.8 direkodkan di Kluang pada jam 9 pagi.
Nie Ching berkata, tiada sebarang aduan berhubung gangguan telekomunikasi diterima susulan bencana gempa bumi di dua daerah itu.






