
SEMPORNA – Masalah jeti haram, pengusaha pelancongan tanpa lesen dan keselamatan pelancong kini menjadi fokus utama kerajaan Sabah.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, kementerian mengambil langkah tegas untuk membersihkan industri pelancongan di Semporna, menjadikannya model keselamatan dan kepatuhan bagi seluruh negeri.
“Penguatkuasaan tiada kompromi terhadap pengusaha yang melanggar undang-undang. Ini soal nyawa pelancong, imej negeri, dan masa depan industri.
“Daripada 190 premis pelancongan di Semporna, hanya 46 yang berlesen sah. Justeru, kerajaan memperkenalkan Ops Bersepadu selepas memberi tempoh tiga bulan untuk pematuhan,”katanya pada sidang media sempena MATTA Fair, di sini pada Sabtu.
Menurut Jafry, kerajaan juga menetapkan tiga jeti rasmi sahaja iaitu Jeti Bangau-Bangau, Jeti Seafest dan Jeti Kapalai Resort.
“Jeti haram akan dirobohkan bagi memastikan setiap pergerakan pelancong direkodkan dan dikawal dengan baik.
“Selain itu, isu sosial di perkampungan atas air yang menjejaskan imej Semporna sebagai destinasi pelancongan premium sedang diteliti.
“Cadangan jangka panjang termasuk kemungkinan pemindahan penempatan bagi mewujudkan persekitaran pelancongan lebih bersih dan selamat,” jelasnya.
Tambahnya, penguatkuasaan turut diperketatkan terhadap pengendali bot dengan kru tidak berdaftar dan aktiviti berisiko tinggi seperti selaman di Pulau Sipadan.
“Bukan itu sahaja, larangan penjualan hidupan liar dilindungi, termasuk penyu dan tenggiling, juga diperluas bagi mengekalkan kelestarian alam semula jadi.
“Semua tindakan ini menghantar mesej jelas, Sabah serius dalam keselamatan pelancong dan kelestarian industri pelancongan.
“Dengan langkah ini, Semporna dijangka menjadi standard emas bagi sektor pelancongan Sabah, di mana keselamatan, pematuhan undang-undang,dan kelestarian alam menjadi teras utama,” tegasnya.




