SEORANG lelaki yang juga anak bekas pemimpin kerajaan terdahulu ditahan polis selepas sejumlah dadah ditemui dalam kereta miliknya di Lebuh Raya Sprint, dekat Petaling Jaya, semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, ketika dihubungi Berita Harian mengesahkan tangkapan lelaki berusia lingkungan 20-an itu.
“Ya, saya sahkan (penahanan itu),” katanya tanpa mengulas lanjut.
Berdasarkan maklumat, tangkapan itu dibuat ketika operasi pencegahan jenayah bersepadu oleh pegawai dan anggota polis daerah Petaling Jaya di sekitar Damansara.
Dalam operasi itu, kereta milik suspek diperiksa dan polis menemukan ‘sejumlah kecil heroin’ bersama beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk tujuan penyalahgunaan dadah.
Difahamkan suspek mempunyai rekod kes lampau berkaitan dadah.






