
KOTA KINABALU – Sektor koperasi terus membuktikan peranannya sebagai pemacu ekonomi rakyat apabila mencatatkan perolehan mencecah RM81.62 bilion di peringkat nasional sehingga 31 Disember 2025.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, ketika ini terdapat sebanyak 16,468 koperasi dengan keanggotaan 7.3 juta orang di seluruh negara, sekali gus menunjukkan kekuatan signifikan sektor berkenaan.
”Di Sabah sahaja, sebanyak 2,047 koperasi direkodkan dengan 389,000 anggota, menjana perolehan RM913.33 juta serta aset melebihi RM1.2 bilion,” kongsinya semasa merasmikan Program Bicara Koperasi dan Jom@Coop anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa) bersama agensi kuskop dan media, di sini, pada Sabtu.
Tambah Mohamad, koperasi bukan lagi entiti kecil, sebaliknya kini menjadi gergasi ekonomi rakyat yang semakin berkembang dan berdaya saing.

”Melalui Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DAKOM 2030), kerajaan menyasarkan peningkatan sumbangan sektor koperasi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 3.6 peratus kepada lima peratus menjelang 2030.
”Koperasi perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan digitalisasi bagi kekal relevan.
“Digitalisasi bukan lagi pilihan, tetapi keperluan bagi menarik minat golongan muda khususnya Gen Z dan Alpha untuk menyertai koperasi.
”Koperasi juga berpotensi memainkan peranan penting dalam menangani isu kos sara hidup melalui penguasaan rantaian bekalan serta pengurangan orang tenga,” jelasnya.

Mohamad turut mengesa semua ahli koperasi untuk meneroka bidang keterjaminan makanan, tenaga boleh baharu dan pengangkutan hijau sebagai langkah menghadapi cabaran ekonomi global.
Tambahnya, kerjasama erat antara agensi di bawah KUSKOP iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), SME Corp, TEKUN Nasional dan Bank Rakyat terus memperkasa ekosistem keusahawanan negara.




