Pas sepatutnya ‘terbubar sendiri’ berdasarkan wasiat Allahyarham Nik Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – UMNO menganggap kenyataan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa ‘jika suatu hari nanti UMNO meletakkan Islam sebagai asas dalam Perlembagaannya, Pas akan dibubarkan’ sebagai wasiat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, atas wasiat tersebut, beliau meminda Perlembagaan UMNO dengan meletakkan asas Islam di dalamnya, sebaik sahaja mengambil alih tampuk kepemimpinan parti.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO banyak berjasa dalam memartabatkan Islam melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

“Ada rakan daripada PKR dan Amanah hadir di sini apabila Allahyarham Nik Aziz menyebut UMNO jika satu ketika nanti meletakkan asas Islam dalam Perlembagaannya, dalam Perlembagaan UMNO, Pas akan dibubarkan.

“Saya anggap itu sebagai wasiat. Apabila saya mengambil alih kepimpinan UMNO, perkara utama saya lakukan adalah meletakkan soal Islam dalam Perlembagaan UMNO.

“Tapi Pas belum terbubar lagilah, saya harap akan terbubar dengar sendirinya,” katanya dalam nada berseloroh ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Selasa.

Ahmad Zahid menegaskan, UMNO tidak pernah menolak Islam, jauh sekali berniat untuk mengeksploitasinya.

“Bagi UMNO, Islam ialah panduan kenegaraan, bukannya untuk modal politik. Islam dibina melalui dasar dan institusi, bukan slogan retorik.

“Islam telah dimartabatkan melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan manakala peranan Raja-Raja Melayu sebagai payung agama diperkukuhkan dalam Perkara 38. Inilah jasa besar UMNO yang jangan sesekali kita lupakan,” katanya.

Pada 2008, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan ketika itu, dilapor mencadangkan UMNO dan Pas dibubar dengan menubuhkan parti baharu berlandaskan Islam bagi menyatukan orang Melayu dan sebagai tempat berlindung semua pihak termasuk bukan Islam.

Mursyidul Am Pas itu dilapor berkata, Islam menepati semua matlamat perjuangan termasuk politik dan perlu dijadikan asas kepada perjuangan mana-mana parti politik yang inginkan perjuangan sebenar.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO bersedia mengundang Pas untuk bergabung dalam sebuah organisasi yang memfokuskan agenda Islam, di luar lingkungan politik seperti Multaqa Ilmuwan Islam.

Beliau berkata, pengumuman berhubung organisasi itu bagaimanapun akan dibuat pada hari terakhir persidangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

“Kita akan melakukannya pada hari terakhir PAU, saya akan mengumumkan sesuatu iaitu sebuah organisasi di luar lingkungan politik.

“Saya cadangkan kita menubuhkannya dan Kabinet juga sudah meluluskannya, maka saya akan umumkan,” katanya.

Penubuhan Majlis Ulama UMNO pada 2018, kata Ahmad Zahid, adalah usaha parti mengenepikan soal ideologi politik.

“Apabila bercakap mengenai soal agama, kita mesti melakukan penyatuan fitrah dan pemikiran atau tindakan.

“Ini yang kita lakukan dan berhasrat untuk bersikap terbuka mengenainya,” katanya.

Related Posts

Pengambilan doktor dan jururawat baharu diteruskan

PUTRAJAYA – Pengambilan doktor dan jururawat baharu akan tetap diteruskan meskipun kerajaan melaksanakan langkah penyelarasan perbelanjaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau berkata, terdapat salah tafsir berhubung cadangan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Bekalan minyak dan gas Malaysia kekal terjamin, harga global jadi cabaran – PM

PUTRAJAYA – Malaysia masih berada dalam kedudukan kukuh dari segi bekalan minyak dan gas berbanding negara ASEAN lain, namun tidak terlepas daripada kesan kenaikan harga di peringkat global, kata Perdana…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pengambilan doktor dan jururawat baharu diteruskan

Pengambilan doktor dan jururawat baharu diteruskan

Bekalan minyak dan gas Malaysia kekal terjamin, harga global jadi cabaran – PM

Bekalan minyak dan gas Malaysia kekal terjamin, harga global jadi cabaran – PM

Isu harga barangan akan dibincang dalam mesyuarat Kabinet Rabu ini

Isu harga barangan akan dibincang dalam mesyuarat Kabinet Rabu ini

PM tidak ulas isu UMNO Negeri Sembilan, kenyataan disifatkan belum jelas

PM tidak ulas isu UMNO Negeri Sembilan, kenyataan disifatkan belum jelas

PDRM Kelantan beri amaran keras salah guna logo, imej Ketua Polis

PDRM Kelantan beri amaran keras salah guna logo, imej Ketua Polis

100 mangsa ribut Kampung Melayu Raya dipindahkan, bantuan segera digembleng

100 mangsa ribut Kampung Melayu Raya dipindahkan, bantuan segera digembleng