PUTRAJAYA – Kenaikan RM200 mungkin sekadar angka kecil di slip gaji bagi sebahagian pihak, namun untuk pegawai Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP), tambahan itulah yang membezakan antara hidup yang terpaksa dicatu setiap hari dengan kehidupan yang disifatkan sebagai nafas baharu dalam meredakan tekanan kos sara hidup.
Bagi seorang pegawai MySTEP, Muhammad Ikram Fahrol Razi, 25, mengakui setiap sen perlu dikira, termasuk perlu membawa bekal setiap hari sebelum kadar tersebut dinaikkan daripada RM2,100 kepada RM2,300.
Beliau berpandangan, kenaikan itu bukan kemewahan, sebaliknya kelegaan kecil yang lama ditunggu bagi membolehkannya membeli barangan keperluan tanpa rasa bersalah dan membayar komitmen bulanan tanpa perasaan cemas secara berlebihan.

“Dengan RM2,100, memang sukar. Nak jimat pun sampai ke tahap ekstrem. Makan perlu dikira sehingga setiap hari akan bawal bekal ke pejabat, nak berbelanja pun kena fikir banyak kali. Bila RM200 ini masuk, sekurang-kurangnya kos harian dan minyak kereta boleh ditampung.
“Kenaikan ini merupakan isyarat baik daripada kerajaan semasa yang mula melihat pegawai MySTEP merupakan orang penting dalam setiap jabatan. Ini membuktikan kita telah diiktiraf kerajaan.
“Ahli keluarga, rakan rakan juga memuji ini langkah positif daripada kerajaan. Harapan saya agar kerajaan memperluaskan inisiatif seperti ini lagi kepada pegawai MySTEP seiring dengan kenaikan kos sara hidup,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP), pada Isnin.
Nada hampir sama dikongsi Hidayatun Nufus Abd Gafor, 25, yang menyifatkan kenaikan RM200 itu sebagai satu bentuk penghargaan yang amat bermakna buat mereka.
Beliau meluahkan, sebelum ini kehidupan sebagai pegawai MySTEP menuntut pengorbanan senyap dengan mencatu makanan, menangguhkan keperluan diri dan hidup dengan kebimbangan setiap hujung bulan.

“RM200 mungkin nampak kecil bagi segelintir individu, tetapi bagi kami, ia sangat besar. Sebelum ini kami terpaksa mencatu makanan dan ada rakan yang terpaksa buat kerja sambilan. Sekarang, sekurang-kurangnya perbelanjaan harian dan minyak kenderaan boleh ‘cover’ semula.
“Kenaikan ini membuktikan kerjaan pada masa kini melihat segala sumbangan yang MySTEP buat kerana bagi saya kami bukan sekadar pelatih namun individu yang membantu melancarkan operasai agensi atau kerajaan di luar sana.
“Kita mengharapkan agar kerajaan bukan sahaja membantu dari segi kenaikan elaun gaji, mungkin selepas ini pegawai MySTEP dipermudahkan atau diberi peluang untuk serap ke dalam jawatan kontrak atau tetap, selain diberi latihan kemahiran yang lebih meluas kerana itu akan memotivasikan kami untuk menjadi pekerja lebih berkualiti,” katanya.
Sementara itu, Imran Hakim Mohd Ali, 28, yang juga merupakan pegawai MySTEP di Kementerian Komunikasi mengakui gaji RM2,100 sebelum ini memaksa beliau melakukan kerja sambilan pada hujung minggu untuk menampung perbelanjaan bulanan.

“Kenaikan elaun itu menyentuh bukan sahaja dari segi poket, tetapi perasaan sebagai ketua keluarga. Sebelum ini, hujung minggu bukan masa berehat, sebaliknya ruang untuk bekerja sambilan demi menampung keperluan rumah tangga.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana sudah menaikkan gaji kami pegawai MySTEP yang sangat membantu meringankan kewangan saya dalam mengurus keperluan harian dan bulanan. Dengan kenaikan ini, saya boleh tambah untuk bayar sewa rumah mahupun kereta.
“Walaupun jumlah mahupun nilainya tidak tinggi bagi saya jumlahnya amat besar kerana sangat memberi kesan yang positif kepada saya,” katanya sebak.
Terdahulu, bayaran RM2,100 ditetapkan sebelum ini dikatakan tidak sesuai berdasarkan kos sara hidup ketika ini, lebih-lebih dengan pekerja MySTEP tidak layak memohon Elaun Lebih Masa.
Menyedari keluhan berkenaan, kerajaan mengumumkan kadar tersebut sudah dirujuk semula dan dinaikkan mengikut taraf pendidikan pekerja.
Sebagai contoh, sekiranya sebelum ini petugas MySTEP dengan kelayakan Ijazah Sarjana Muda hanya menerima RM2,100, penyelarasan terbaharu menyaksikan kenaikan RM200.
Ini merupakan isyarat jelas daripada kerajaan dalam memastikan pekerja di bawah skim itu dapat bertugas dengan cekap tanpa dibebani masalah kos sara hidup.







