PUTRAJAYA – Cadangan peguam, Haniff Khatri Abdullah agar Majlis Raja-Raja membincangkan dakwaan kerajaan enggan mengakui dan melaksanakan Titah Adendum berhubung hukuman penjara Datuk Seri Najib Razak dilihat mampu mewujudkan krisis Perlembagaan di Malaysia.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim pandangan pengamal undang-undang itu dilihat mampu mencipta situasi berbahaya dan tidak stabil, malah tidak sesuai yang sepatutnya dibincangkan dalam persidangan Parlimen.
Menurutnya, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa Majlis Raja-Raja di bawah Perkara 38(1), (2), (3), (4), (5) dan (6), tidak ada kuasa membincangkan apa yang dipanggil oleh Haniff Khatri tentang keingkaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui kewujudan Titah Adendum sebelum ini.
“Tempat yang sesuai untuk Perdana Menteri dirujuk untuk dibincang malah dibahaskan ialah di Parlimen bukannya Persidangan Majlis Raja-Raja.
“Begitu juga Haniff Khatri perlu menyedari Perkara 145(4) Perlembagaan Persekutuan tentang tugas Peguam Negara di mana Fasal (4) tersebut menyatakan bahawa, melaksanakan tugasnya Peguam Negara berhak untuk didengar dalam mana-mana Mahkamah atau tribunal di Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Hassan memaklumkan, perkara itu harus diberi keutamaan daripada mana-mana orang lain yang hadir di hadapan mahkamah atau tribunal itu dan dalam isu Titah Adendum Najib, Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah bersifat tribunal.
“Selanjutnya perlu difahami perjalanan prosiding Lembaga Pengampunan seperti yang dinyatakan bawah Perkara 42(8) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Lembaga Pengampunan hendaklah bermesyuarat dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong dan mempengerusikan mesyuarat itu,” katanya.
Dalam pada itu, Hassan mempercayai Peguam Negara atau Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili Peguam Negara dan lain-lain defendan serta responden pastinya akan memberikan penjelasan sebaiknya ketika pendengaran substiantif semakan kehakiman Najib berkenaan Titah Adendum.
Jelasnya, penjelasan itu penting, sama ada Titah Adendum terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu telah dibentangkan atau tidak dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.
“Jika jawapan kepada persoalan itu ialah positif iaitu ya, maka persoalan selanjutnya adakah Lembaga Pengampunan yang bermesyuarat itu mematuhi Fasal (9) Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan seperti berikut.
“Sebelum memberikan nasihatnya mengenai apa-apa perkara, Lembaga Pengampunan hendaklah menimbang apa-apa pendapat bertulis yang mungkin telah dikemukakan oleh Peguam Negara mengenai perkara itu.
“Jadi persoalan kedua ini dapat kita ketahui bukan sekarang tetapi apabila permohonan semakan kehakiman Najib didengar tidak lama lagi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Haniff Khatri perlu bersabar dan tidak terlalu cepat menyalahkan Perdana Menteri ataupun Peguam Negara dalam perkara itu,” katanya.
Semalam, Haniff Khatri menerusi laman Facebooknya, merayu agar Majlis Raja-Raja mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai dakwaan Anwar dan pentadbirannya enggan memperakui titah tambahan itu.
Ini berlaku selepas Anwar mengakui Peguam Negara menerima surat berhubung Titah Adendum yang memerintahkan untuk Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Bagaimanapun, Anwar berkata, selepas surat itu diterima, Yang di-Pertuan Agong bertukar dan Peguam Negara menyerahkan surat itu kepada Istana Negara untuk membenarkan Agong yang baharu dilantik, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, membuat keputusan.




