PUTRAJAYA – Dana pinjaman selain latihan keusahawanan disediakan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) berjaya membantu wanita mengeluarkan keluarga mereka dari kepompong kemiskinan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sokongan AIM menguatkan lagi semangat penerima bantuan untuk meningkatkan pendapatan mereka.
Sehubungan itu, katanya, ramai wanita khususnya suri rumah kini mampu menguruskan perusahaan kecil-kecilan dengan berkesan, sekali gus mengubah kehidupan keluarga.
“Paling penting AIM menyediakan latihan dan sokongan berterusan sehingga penerima bantuan atau sahabat AIM itu benar-benar dapat menguruskan perusahaan mereka dengan baik,” katanya di Petra Jaya, hari ini.
Fadillah berkata, kejayaan Sahabat AIM menguruskan bantuan dan memanfaatkan latihan terbukti apabila mereka berjaya membayar balik pinjaman tepat pada masa.
“Kalau tidak berjaya, mereka tidak dapat membayar balik pinjaman, sebab itu kadar pinjaman tidak dibayar begitu kecil iaitu 0.02 peratus saja.
“Ini bermakna usaha mereka berjaya meningkatkan taraf hidup dan saya mengharapkan serta mendoakan kejayaan berterusan kepada AIM dan sahabat AIM itu sendiri,” katanya.






