
KUCHING – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon menyatakan sokongan terhadap Usul Penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, pada Rabu.
Ketika membahaskan usul tersebut, beliau menzahirkan penghargaan terhadap usaha kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang komited memacu pembangunan berasaskan ekonomi digital, tenaga hijau dan teknologi moden selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Bagaimanapun, beliau memohon agar pelaksanaan pembangunan di kawasan pedalaman khususnya di DUN Murum dapat disegerakan agar seimbang dengan kemajuan arus perdana.
“Ini termasuklah keperluan menaik taraf infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air, elektrik dan telekomunikasi, di samping memperkukuh taraf sosioekonomi masyarakat luar bandar.
“Rakyat di kawasan pedalaman sentiasa berharap agar mereka tidak terus ketinggalan, sebaliknya sedia untuk bersama-sama merasai nikmat kemajuan Sarawak yang inklusif dan mampan,” katanya.
Dalam pada itu, Kennedy turut menyambut baik cadangan untuk menaik taraf Sungai Asap sebagai Daerah Penuh Apau Koyan.
Jelasnya, pelaksanaan projek Digital Village Sungai Asap di kawasan tersebut juga dilihat sebagai satu inisiatif tepat yang mampu merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar.
Beliau pada masa sama mencadangkan penubuhan Pusat Transformasi Pertanian Pintar (SATC) di BRS Sungai Asap bagi membantu penduduk setempat meneroka sektor pertanian moden secara lebih teratur dengan bantuan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Tambahnya, isu yang membabitkan kelulusan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), prasarana pendidikan, kemudahan kesihatan serta peluang ekonomi generasi muda pedalaman juga diharap akan terus mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan negeri.
Foto: Facebook YB Kennedy




