
MIRI – Program Semarak Hari Belia Negara (HBN) 2026 Peringkat Bahagian Miri menjadi platform penting dalam memperkasa golongan belia agar lebih berkemahiran, berdaya saing dan berdaya tahan selaras dengan keperluan pembangunan negara.
Timbalan Pengarah Latihan ADTEC JTM Kampus Miri, Bahsan Meriam berkata, sambutan HBN merupakan pengiktirafan kerajaan terhadap peranan serta sumbangan besar golongan itu sebagai aset utama negara.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Pengarah ADTEC JTM Kampus Miri pada majlis perasmian program tersebut di Dewan INTRIM pada Rabu.
Menurutnya, sambutan HBN yang diraikan pada setiap 15 Mei mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menghargai usaha, pencapaian serta peranan generasi muda sebagai tunjang negara.

“Belia masa kini perlu bersedia dengan ilmu, kemahiran tinggi dan integriti bagi menghadapi cabaran masa depan. Program seperti ini memberi ruang kepada mereka untuk meningkatkan potensi diri serta membina sahsiah yang kukuh.
“Saya berharap program ini menjadi pemangkin kepada semangat baharu dalam kalangan belia di Miri, khususnya warga ADTEC JTM Miri untuk terus bergerak aktif menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Miri, Roley Lagir berkata, program berkenaan merupakan antara pengisian awal sambutan di peringkat akar umbi bagi menggalakkan penglibatan belia secara holistik.

Jelas beliau, tema sambutan tahun ini iaitu ‘Menggerak Belia’ menekankan peranan golongan muda supaya tampil sebagai pemacu perubahan serta peneraju kepemimpinan masa hadapan negara.
Tambahnya, sebanyak 113 daerah dan bahagian di seluruh negara melaksanakan Program HBN 2026 menjelang sambutan rasmi, dengan sasaran penyertaan kira-kira 600 peserta bagi setiap lokasi.
“Pelaksanaan di Miri dijayakan menerusi kolaborasi bersama Persatuan Belia Kristian Rhema yang telah menjadi rakan strategik sejak 2015.

“Ia turut menampilkan empat segmen utama iaitu kepimpinan; penciptaan dan peluang pekerjaan; Malaysia Aktif serta inovasi dan digital dengan sokongan agensi seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Miri dan Persatuan Pickleball Miri,” ujarnya.




