KUANTAN – Bekas ahli GISB Holdings (GISBH) yang hilang pendapatan boleh hadir ke pejabat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) untuk mendapatkan bantuan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, pihaknya prihatin dengan nasib mereka dalam meneruskan kehidupan seharian.
Matanya, MUIP sedia memberi pelbagai bantuan dari segi kewangan atau kemudahan kepada semua bekas ahli GISBH jika mereka mematuhi beberapa syarat ditetapkan.
“Antara syarat perlu dipatuhi bekas ahli GISBH ialah bebas daripada dakwaan mahkamah dan terbukti tiada kaitan dengan pertubuhan itu dan wajib mengikuti pemulihan secara berterusan.
“Kita faham ada dalam kalangan mereka terputus pendapatan. Mereka boleh datang ke MUIP dan bantuan akan diberikan selepas melalui siasatan yang tidak mengambil masa lama iaitu hanya satu hari sahaja.
“Pada masa sama, jabatan lain iaitu Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) juga akan memantau dan menziarahi bekas ahli GISBH untuk memastikan mereka dapat meneruskan kehidupan harian tanpa tekanan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Asmadi berkata, antara bantuan disalurkan MUIP adalah bantuan persekolahan membabitkan satu keluarga yang juga bekas ahli GISBH.
Katanya, seramai enam anak bekas ahli GISBH akan memulakan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan di daerah ini dan Sekolah Menengah Agama di Pekan dalam tempoh terdekat.






