PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini menegaskan bahawa hukuman sebat adalah sah dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Keputusan itu dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 yang disampaikan oleh Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Menurut beliau, pelaksanaan hukuman berkenaan tidak melanggar Perkara 5 yang menjamin hak untuk hidup dan kebebasan diri, serta Perkara 8 yang memperuntukkan kesamarataan di sisi undang-undang tanpa diskriminasi.
Kes itu timbul susulan permohonan tiga banduan di bawah Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan hukuman sebat yang dikenakan ke atas mereka.
Pemohon berhujah bahawa hukuman tersebut bersifat arbitrari dan berpotensi menyebabkan kematian. Mahkamah bagaimanapun berpendapat bahawa hukuman sebat berbeza daripada hukuman mati kerana ia tidak bertujuan untuk melucutkan nyawa.
“Berdasarkan tujuan asalnya, hukuman sememangnya direka untuk bersifat menghukum.
“Mengasingkan hukuman sebat sebagai sesuatu yang sangat kejam atau menjatuhkan maruah adalah mengabaikan hakikat bahawa semua bentuk hukuman yang sah, pada tahap tertentu, menjejaskan maruah dan keselesaan individu,” katanya.






