
KUCHING – Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol menegaskan bahawa kes melibatkan penerbitan artikel oleh Sarawak Tribune perlu dijadikan pengajaran penting kepada pengamal media agar lebih berhati-hati dan peka terhadap sensitiviti masyarakat.
Menurut beliau, walaupun isu berkenaan kini dalam siasatan Kementerian Dalam Negeri (KDN), media harus mengambil iktibar supaya tidak terburu-buru atau terlalu ghairah dalam mengejar berita sehingga menyinggung perasaan masyarakat majmuk.
“Kes ini kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka. Namun, saya ingin mengingatkan bahawa peranan media sangat besar dalam mencorakkan pemikiran rakyat. Oleh itu, laporan berita perlu dibuat dengan teliti, beretika dan tidak menimbulkan keresahan awam.
“Jangan terlalu rakus atau teruja dengan sesuatu isu sehingga menyentuh perkara sensitif. Media perlu melihat dari sudut pandang orang lain, lebih berhati-hati, dan peka dalam menilai impak terhadap masyarakat berbilang kaum,” katanya.
Abdullah menambah, media adalah platform penting yang berfungsi sebagai ‘pena lebih tajam daripada pedang’ dalam membentuk hala tuju pemikiran rakyat.
“Cabaran media hari ini bukan sekadar dalam menyampaikan maklumat, tetapi juga bagaimana berdepan dengan perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) yang turut memberi kesan kepada pemberitaan.
“Tugas media adalah memastikan keamanan yang kita kecapi terus terpelihara, bukan mudah terpengaruh dengan anasir luar,” ujarnya.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan telah memanggil tiga individu daripada syarikat penerbitan berkenaan untuk memberi keterangan berhubung penerbitan artikel bertajuk “Militant Using Press Cover Eliminated” yang disiarkan pada 12 Ogos lalu.
Menurut KDN, siasatan difokuskan kepada kemungkinan penerbitan itu melanggar syarat permit di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) serta berpotensi menggugat ketenteraman awam.
“KDN memandang serius sebarang penerbitan yang tidak benar, mengelirukan atau berunsur sensitif. Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000, atau kedua-duanya sekali.
“KDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuai dalam menerbitkan berita sehingga menggugat keselamatan awam,” jelas kenyataan itu.





