
KUALA LUMPUR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang terjatuh ke dalam lubang benam di Jalan Masjid India di sini memasuki hari keempat hari ini, dengan teknik ‘flushing’ dilakukan di lubang.
Menerusi satu kenyataan, Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, berkata teknik flushing itu dijalankan secara berperingkat sejak petang semalam.
“Bagaimanapun, selepas dua pusingan siram, mangsa masih belum ditemui. Malam tadi, Indah Water Konsortium mula mengepam di lurang kelima, yang berterusan sehingga 2 pagi (26 Ogos).
“Pencarian pasukan SAR akan disambung semula pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, berkata teknik ‘flushing’ adalah bagi menyekat aliran air di lurang kumbahan dan setelah air melimpah, sekatan akan dilepas untuk menghasilkan arus aliran air yang deras.
Beliau berkata, teknik itu akan dikoordinasikan oleh pihak Indah Water Consortium (IWK) bermula di lubang kumbahan lima berhampiran bangunan Agrobank.
Dalam kejadian pagi Jumaat lalu, mangsa warga India berusia 48 tahun dikenali Vijayaletchumy dilaporkan hilang selepas menjadi mangsa tanah jerlus sedalam lapan meter di Jalan Masjid India, di sini.
Laporan kejadian itu diterima JBPM Kuala Lumpur pada jam 8.22 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dan BBP Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.



