KUALA LUMPUR – Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan pelantikan Tan Sri Mohd Zuki Ali sebagai Pengerusi yang baharu, berkuat kuasa 1 September 2024.
Mohd Zuki, bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) ke-15, akan menggantikan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir yang memegang jawatan Pengerusi KWSP sejak 1 Mei 2020.
“Lembaga KWSP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Ahmad Badri di atas kepimpinan dan sumbangan besar beliau yang meletakkan KWSP pada tahap kecemerlangan berterusan.
“Pada masa sama, Lembaga KWSP mengalu-alukan dan mengucapkan tahniah kepada Mohd Zuki, yang berpengalaman luas dalam sektor kerajaan dan mempunyai hala tuju strategik untuk terus memacu KWSP ke tahap yang lebih tinggi,” kata pengurus dana persaraan pekerja swasta itu dalam satu kenyataan, hari ini.
KWSP berkata, ia akan terus memainkan peranan penting dalam menjamin kesejahteraan kewangan dan simpanan persaraan ahli khususnya dalam membantu membina masa depan yang lebih baik.
KWSP merekodkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM36.7 bilion bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2024, peningkatan 29 peratus daripada RM28.4 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Setakat 30 Jun 2024, aset pelaburan KWSP berjumlah RM1.211 trilion, di mana 38 peratus dilaburkan dalam pelaburan luar negara.





