
MIRI – Biarpun berdepan pelbagai cabaran termasuk peningkatan kos operasi dan persaingan sengit, seorang pengusaha kedai bunga di sini membuktikan kecekalannya apabila berjaya mengekalkan kelangsungan perniagaan yang dibina sejak 28 tahun lalu.
Pengusaha berkenaan, Sandra, 54, berkata, kejayaan bertahan dalam industri yang kompetitif itu didorong oleh keupayaannya untuk terus memenuhi permintaan tinggi pelanggan yang memerlukan bekalan bunga segar bagi majlis perkahwinan dan acara rasmi.
Menurutnya, perniagaan tersebut turut berdepan risiko kerosakan bunga segar, namun ia berjaya diatasi melalui pengalaman dan pengurusan yang cekap.
“Walaupun banyak cabaran, saya bersyukur kerana masih mampu bertahan dan memenuhi tempahan pelanggan.
“Ini semua hasil daripada pengurusan yang lebih terancang dan pengalaman yang saya peroleh selama ini,” katanya.
Bagi memastikan operasi perniagaannya terus relevan, Sandra mengambil pendekatan strategik dengan melakukan pembelian secara pukal serta menyusun pengurusan stok yang lebih sistematik.

Manfaat kemudahan media sosial
Tambahnya, kemudahan media sosial turut dimanfaatkan sepenuhnya sebagai platform pemasaran bagi melonjakkan kecekapan operasi dan meluaskan capaian pasaran pelanggan baharu.
Beliau berharap pencapaiannya itu dapat menjadi inspirasi kepada usahawan kecil lain, sekali gus membuktikan industri bunga masih mempunyai potensi besar untuk berkembang jika disusuli dengan strategi berdaya saing.
Dalam perkembangan sama, Sandra turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI atas usaha mengekalkan subsidi petrol serta pemberian bantuan tunai RM100.

Jelasnya, inisiatif tersebut sedikit sebanyak membantu meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.
“Saya amat berharap ada sokongan berterusan daripada pihak berkaitan, khususnya bagi membantu usahawan kecil mengurangkan kos operasi dan memperkukuh rantaian bekalan agar perniagaan seperti kami dapat terus berdaya saing,” ujarnya.




