PUTRAJAYA – Tindakan seorang aktivis mempersoalkan ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap rasional kewujudan negara Israel disifatkan sebagai kurang matang dan ‘separuh masak’.
Sebagai seorang aktivis yang banyak memperjuangkan hak asasi kemanusiaan, Francis Siah sepatutnya melihat ketulusan hati Anwar dalam menjaga keselamatan warga Palestin yang ditindas secara berterusan oleh rejim Zionis sejak puluhan tahun lalu.
Pengamal undang-undang, Abang Zaabar Abang Ballia atau lebih dikenali dengan nama AZ Ballia menggambarkan hantaran dibuat Siah di laman sosial Facebook menggunakan tajuk ‘PM Anwar, berhenti memprovok Israel’ adalah satu salah faham yang jelas terhadap polisi antarabangsa Malaysia.
“Siah meletakkan kategori pendirian Anwar terhadap Israel sebagai mengelirukan dan luar dari konteks asal.
“Sedangkan sejak sekian lama, pendirian negara Malaysia dalam hal berkaitan hak rakyat Palestin tidak pernah berubah dan ia bukan bermakna apabila Anwar bersuara dalam perkara ini, ia seterusnya dilihat sebagai cubaan memprovok Israel.
“Pendirian dinyatakan Anwar adalah tegas merujuk kepada hak moral dan berasaskan prinsip kemanusiaan, hak keadilan dan berlandaskan undang-undang antarabangsa,” katanya.
AZ Ballia juga menegaskan saranan Malaysia untuk melucutkan keahlian Israel dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak bermaksud untuk mengasingkan negara itu, tapi lebih kepada satu pernyataan tegas bahawa Israel sendiri gagal mematuhi resolusi diputuskan Majlis Keselamatan PBB dalam hal terkait dengan krisis antara mereka dan Palestin.
![]()
“Ini tidak bermakna kita mahu mengajak Israel atau mana-mana pihak, terbabit dalam kancah peperangan… ia hanyalah untuk memberi kesedaran kepada Israel supaya lebih peka dan bertanggungjawab dengan tuntutan masyarakat antarabangsa dan mematuhi resolusi dibuat PBB.
“Bahkan bukan sahaja Malaysia yang menuntut supaya Israel menghentikan ‘pembantaian’ rakyat Palestin, banyak negara lain juga secara terbuka meminta pencerobohan dilakukan mereka di Semenanjung Gaza dan beberapa lagi kem pelarian menempatkan warga Palestin, dihentikan segera,” tegasnya.
Beliau dalam masa yang sama menggambarkan tuduhan Siah mengatakan Anwar seorang yang ego dan membuat keputusan ‘berseorangan’ dalam hal ini sebagai sangat pelik.
Katanya, pendirian dan keputusan dibuat Anwar adalah hasil persetujuan secara kolektif dalam kalangan menteri Kabinet sebelum usul berkenaan dibentangkan kepada Majlis Keselamatan PBB.
“Saya melihat perkara ini sebagai atas dasar prinsip kemanusiaan melebihi perkara lain. Semua pihak, sama ada ahli politik kerajaan dan pembangkang berkongsi suara yang sama apabila bercakap mengenai hubungan Malaysia-Palestin.
AZ Ballia juga mengingatkan Siah bahawa teguran dan kritikan keras oleh Anwar terhadap Israel bukanlah bermakna Malaysia mencabar negara itu untuk berperang.
Katanya, pandangan dangkal seperti itu tidak seharusnya timbul memandangkan Malaysia sudah dikenali sebagai negara yang lebih mementingkan saluran diplomasi dalam menyelesaikan pelbagai pertelingkahan.
“Tidak ada sebab untuk kita mencetuskan perbalahan menggunakan saluran ketenteraan sedangkan meja rundingan sentiasa tersedia untuk dibuka bagi mengadakan perbincangan.
“Saya percaya bahawa Anwar juga mahu melihat krisis Palestin-Israel ini diselesaikan secara bertamadun dan masyarakat antarabangsa juga mempunyai impian yang sama.
“Jadi, saya nasihatkan Siah supaya lebih memahami ‘diplomasi cara Anwar dan Malaysia’ dalam menangani krisis kemanusiaan di Palestin,” ujarnya.







