KUALA LUMPUR – Semua institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) diarah melihat semula aspek keselamatan bagi mengelakkan kejadian jenayah bunuh dalam kalangan pelajarnya berulang.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, arahan itu dibuat termasuk kepada Kolej Poly-Tech MARA Sdn Bhd (KPTMSB) yang mana pelajarnya maut akibat ditikam sebanyak 61 kali di Ketereh, Kelantan.
Beliau berkata, sebarang kekurangan dalam aspek keselamatan dan kebajikan perlu diperhalusi serta ditambah baik bagi menjamin kesejahteraan pelajar.
“Saya meminta pihak pengurusan KPTM dan semua institusi di bawah MARA melihat aspek keselamatan dan soal kebajikan pelajar secara menyeluruh.
“Sebarang kekurangan perlu diperhalusi kerana saya tidak mahu perkara sama berulang,” katanya, seperti dilapor Berita Harian.
Asyraf Wajdi berkata demikian bagi mengulas insiden pembunuhan seorang pelajar KPTMSB berusia 19 tahun yang ditikam 61 kali dalam kejadian di Ketereh.
Pada masa sama, beliau memaklumkan pihak MARA juga sudah mengaturkan bantuan diperlukan keluarga mangsa.





