
KANGAR – Penularan video berkaitan penggunaan kalimah Allah pada sebuah tokong mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pertubuhan dan individu terhadap keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Wakil Pertubuhan Baihu Malaysia Perlis, Sazeli Saad berkata, perkara itu boleh menimbulkan sensitiviti agama sekiranya tidak ditangani dengan baik.
“Saya telah terpandang dalam satu kumpulan WhatsApp satu video tular berkaitan penggunaan kalimah Allah di dalam sebuah tokong di sebuah kedai alat perkakasan di Seriab di sini.
“Sebagai rakyat Perlis, saya mengambil berat isu ini dan hadir ke balai untuk membuat laporan polis kerana kalimah suci Allah tidak boleh sewenang-wenangnya digunakan di dalam tokong,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial Facebook satu rakaman video yang menunjukkan kalimah Allah pada sebuah tokong kecil di Persiaran Jubli Emas sehingga mencetuskan pelbagai polemik serta rasa kurang senang dalam kalangan netizen.

Tinjauan di media sosial juga mendapati keadaan dilihat semakin tegang apabila kelibat beberapa individu mulai berkumpul di hadapan premis perniagaan tersebut.
Menurut Sazeli, perkara itu berpotensi menjejaskan perpaduan sekiranya tidak ditangani secara berhemah.
“Perkara ini boleh mendatangkan sensitiviti perkauman serta menjejaskan perpaduan, sekali gus berpotensi memecah-belahkan keharmonian rakyat di Perlis serta Malaysia amnya.
“Sebelum datang ke balai polis, saya juga telah merujuk kepada pihak peguam dan beliau bersetuju supaya laporan polis dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut dan menyeluruh berkaitan kalimah yang terdapat di dalam tokong tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi individu, Mohd Redza Fadzally Md Akhair, 39, berkata, sebagai seorang muslim, dia kesal dengan kejadian tersebut dan berharap tindakan sewajarnya diambil bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.




