
KOTA BHARU – Struktur tukun tiruan seberat 15 tan kini menjadi benteng baharu di perairan Kelantan bagi menghalang aktiviti pukat tunda yang mengancam sumber marin di pesisir pantai.
Sebanyak 16 unit tukun tiruan berkonsepkan konservasi berbentuk kuboid telah dilabuhkan di perairan Tumpat menerusi Program Melabuh Tukun Tiruan Jabatan Perikanan.
Pengarah Perikanan Kelantan, Ismail Ibrahim berkata, struktur berkenaan direka mengikut kesesuaian lokasi dengan ketinggian sekitar 2.6 meter serta berfungsi sebagai penghalang fizikal kepada aktiviti pukat tunda.
Beliau berkata, tukun tiruan itu bukan sahaja membantu mengekang pencerobohan nelayan menggunakan pukat tunda, malah berperanan memulihkan ekosistem marin serta menjadi kawasan perlindungan dan pembiakan hidupan laut.
Menurutnya, usaha tersebut selaras dengan komitmen kerajaan dalam memastikan kelestarian sumber perikanan serta menjamin sumber pendapatan nelayan pesisir pantai untuk jangka panjang.
Selain itu, reka bentuk tukun tiruan turut mengambil kira potensi pembangunan agro-pelancongan seperti aktiviti perikanan rekreasi dan selam skuba di kawasan berkenaan.
Setakat ini, ratusan unit tukun tiruan pelbagai jenis telah dilabuhkan di perairan Kelantan sejak 2007 sebagai langkah berterusan memulihara biodiversiti marin dan mengekang aktiviti perikanan tidak lestari.




