Insiden tembak: Maritim Malaysia tidak langgar undang-undang, harus diperjelas kepada Indonesia

PUTRAJAYA – Tiada sebarang pelanggaran undang-undang dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam insiden tembakan membabitkan penguatkuasa itu dengan lima warga Indonesia di perairan Tanjung Rhu, di Banting, Selangor baru-baru ini.

Pemerhati hubungan antarabangsa dan politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, Akta APMM 2004 (Akta 633) merangkumi ketentuan yang membenarkan anggota penguat kuasa melepaskan tembakan jika nyawa diancam ketika menjalankan tugas.

Jelasnya, keizinan itu diberikan dalam kerangka undang-undang yang membenarkan penggunaan kekerasan untuk membela diri atau mempertahankan kedaulatan negara dalam keadaan tertentu, terutamanya ketika berhadapan dengan ancaman langsung.

“Dalam Akta 633, anggota APMM memiliki punca kuasa sah melepaskan tembakan dalam situasi yang dianggap sebagai ancaman terhadap keselamatan mereka atau pihak lain, terutama jika mereka diancam ketika menjalankan tugas rasmi di perairan Malaysia.

“Penggunaan kekerasan dalam operasi penguatkuasaan bukan sesuatu yang luar biasa dalam hubungan antarabangsa, namun keperluan diteliti secara terperinci agar tindakan diambil penguat kuasa di atas dasar prinsip proposional dan berlandaskan undang-undang bagi mengelakkan kritikan atau persepsi negatif.

“Penggunaan tembakan juga mesti mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi memastikan tindakan yang diambil tidak melanggar hak asasi individu yang terlibat dan selaras dengan undang-undang negara,” katanya ketika dihubungi wartawan The Malaysia Press (TMP), hari ini.

Mengulas lanjut, Nur Ashikin berpandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai hubungan erat bersama Presiden Indonesia Prabowo Subianto perlu menggunakan peluang itu dalam memperjelaskan tindakan Malaysia diambil berdasarkan kerangka undang-undang maritim dan kepentingan keselamatan Malaysia.

Katanya, langkah terbabit bukan hanya sebagai tindakan reaktif tetapi sebagai langkah pencegahan terhadap ancaman jenayah rentas sempadan yang semakin berkembang selain memberi peluang dalam mengatasi ketegangan diplomatik bagi memastikan kerjasama bilateral dalam menangani isu penyeludupan migran serta keselamatan serantau terus terjalin dengan lebih kukuh.

“Jika reaksi media dan masyarakat Indonesia bersifat emosional, ia boleh meningkatkan tekanan terhadap kerajaan Indonesia untuk bertindak balas, sama ada melalui nota diplomatik, rundingan peringkat tinggi, atau sekatan kerjasama keselamatan tertentu.

“Jika tidak ditangani dengan bijaksana, insiden seperti ini berisiko menjejaskan kepercayaan dan kestabilan hubungan Malaysia-Indonesia, yang mempunyai kepentingan strategik bagi kedua-dua negara dalam aspek ekonomi dan keselamatan. Dalam sejarah hubungan serantau, insiden seperti ini sering membawa risiko eskalasi konflik atau tuntutan diplomatik.

“Ini sebagaimana pernah berlaku dalam isu perairan antara Thailand-Kemboja atau China-Filipina di Laut China Selatan. Justeru, pendekatan strategik perlu bagi mengelakkan insiden itu mencetuskan ketegangan berpanjangan. Malaysia perlu bersikap telus dalam siasatan, menjelaskan rasional tindakan diambil tidak melanggar hak asasi individu selain menggunakan saluran diplomatik untuk meredakan sebarang kebimbangan Indonesia,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Ashikin berkata, tindakan kumpulan hak asasi manusia melempar telur di Kedutaan Malaysia di Jakarta, Indonesia mencerminkan perang persepsi yang boleh menjejaskan imej negara di peringkat antarabangsa, walaupun kaedah protes tersebut sering digunakan bagi menekan Malaysia secara diplomatik.

“Dari sudut keselamatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa warga asing yang menyerang pegawai Maritim Malaysia terlibat dalam penyeludupan migran, satu ancaman jenayah rentas sempadan yang menggugat kedaulatan negara.

“Lantaran itu, keperluan buat Malaysia menangani naratif terbabit secara holisitik dengan komunikasi strategik, sambil memperkukuh kerjasama keselamatan serantau bagi menghalang ancaman jenayah transnasional tanpa membiarkan tekanan luaran melemahkan kedudukan negara,” katanya.

Bagi mengelakkan ketegangan antara Malaysia dan Indonesia, Nur Ashikin berpendapat terdapat keperluan buat kerajaan meminda Akta APMM 2004 (Akta 633), khususnya berkaitan penguatkuasaan maritim dan penyeludupan migran.

“Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) itu perlu memberi penekanan kepada kerjasama dua hala dan protokol yang jelas dalam mengendalikan insiden yang melibatkan warga asing, memastikan tindakan yang diambil proporasional dan tidak mencetuskan konflik diplomatik.

“Pada masa sama, Malaysia perlu menggubal undang-undang lebih tegas terhadap penyeludupan migran, memperkukuh kerjasama keselamatan antarabangsa, dan melibatkan Indonesia dalam operasi bersama. Pendekatan itu akan memastikan Malaysia dapat mempertahankan kedaulatan sambil mengekalkan hubungan baik dengan Indonesia,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan dalam insiden itu, dua suspek yang dipercayai warga asing yang berada di atas bot, didakwa cuba menyerang pegawai Maritim Malaysia dengan parang sekitar jam 3 pagi, selepas mereka merempuh bot pegawai berkenaan sebanyak empat kali.

Katanya, pegawai Maritim Malaysia melepaskan beberapa das tembakan ke arah bot suspek sebagai tindakan mempertahankan diri namun, suspek melarikan diri dalam kegelapan malam dan pada hari yang sama pihak Maritim Malaysia menerima maklumat daripada orang awam mengenai sebuah bot yang hanyut di pantai Banting.

Maritim Malaysia menemui bot berkenaan dan mendapati dua lelaki di dalamnya. Seorang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang untuk rawatan.

Hussein turut mengesahkan bahawa polis menerima laporan mengenai tiga lelaki, yang disyaki warga asing, yang mengalami kecederaan tembakan dan kini telah mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Idris Shah di Serdang.

Related Posts

KPM segera perkasa penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di sekolah – PMX

PUTRAJAYA – Terdapat keperluan buat Kementerian Pendidikan (KPM) segera melaksanakan inisiatif memperkasakan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dalam kalangan pelajar sekolah. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelewatan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Akta 588 (Pindaan) kuat kuasa hari ini

PINDAAN terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] berkuat kuasa hari ini, selepas diwartakan pada 7 Februari lalu. Kementerian Komunikasi dalam kenyataan memaklumkan, pindaan terhadap akta itu diluluskan di…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Hamas tempelak kegagalan Israel patuhi perjanjian gencatan senjata

  • By Mai S
  • February 12, 2025
Hamas tempelak kegagalan Israel patuhi perjanjian gencatan senjata

KPM segera perkasa penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di sekolah – PMX

KPM segera perkasa penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di sekolah – PMX

Lima pelanggaran utama Israel sepanjang gencatan senjata

  • By Mai S
  • February 12, 2025
Lima pelanggaran utama Israel sepanjang gencatan senjata

Proton e.MAS kini di Kuching, fokus wujudkan persekitaran hijau dan mampan

Proton e.MAS kini di Kuching, fokus wujudkan persekitaran hijau dan mampan

Kanak-kanak tidak dibenar tunai haji

Kanak-kanak tidak dibenar tunai haji

ESSCOM pilih perkampungan jadi Kampung Angkat Madani

ESSCOM pilih perkampungan jadi Kampung Angkat Madani