KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk menyelaraskan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per tan, berkuatkuasa pada Ahad, 16 Februari ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan juga bersetuju untuk mengekalkan harga mekanisme beras putih tempatan pada kadar RM2.60 per kilogram.
Mohammad berkata, untuk menjayakan inisiatif tersebut, kerajaan memperuntukkan sekitar RM150 juta kepada pihak pengilang dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini bagi menyediakan 24 juta kampit beras 10 kilogram dengan harga RM26.
“Dalam tempoh enam bulan ini, 24 juta kampit 10 kilogram beras putih yang berharga RM26 akan berada di pasaran. Pengumuman ini diharap dapat menjadi solusi menang-menang kepada sawah, pengilang dan juga pengguna.
“Seperti dalam ucapan awal mukadimah saya tadi, pihak kerajaan bila membuat sesuatu, dia kena mengambil kepentingan semua pihak yang paling utama sekali tentulah penanam padi. Yang kedua, para pengguna. Yang ketiga, para pengilang, pemborong, peruncit dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini.
Sementara itu, ditanya mengenai harga RM1,500 yang lebih rendah berbanding tuntutan pesawah iaitu RM1,800, Mohamad berkata, harga lantai belian padi baharu itu mengambil kira kesan terhadap kenaikan harga beras kelak.
“Kalau kita naikkan harga padi sebegitu rupa, bagaimana kedudukan harga beras? Dengan harga sekarang pun nak keluarkan RM2.60 per kilo, sudah kerajaan terpaksa campur tangan, memberi subsidi.
“Lihat berapa kilang Bumiputera yang tutup, kerana tidak dapat menyediakan beras dengan harga RM2.60 seperti yang ditetapkan dengan harga padi yang ada RM1,300. Itu yang kita kena lihat kepentingan semua pihak. Baca balik bagaimana ulasan yang dibuat oleh pengusaha kilang di Arau, Perlis, kenapa dia tutup salah satunya, kerana dia tidak tahan dengan harga padi,” katanya.
Sementara itu, dalam pemberitahuan ketika sidang Dewan Rakyat, Mohamad menjelaskan, penetapan harga lantai baharu belian pada RM1,500 mengambil kira kenaikan kos upah dan kos input pertanian (baja, racun dan lain-lain) dan impak kepada kos pengeluaran beras dan seterusnya kesan kepada harga beras di pasaran.
“Sukacita saya juga ingin memaklumkan bahawa pihak KPKM pada masa ini sedang memuktamadkan perundingan bersama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Kewangan (MOF) untuk membolehkan penyedia perkhidmatan di dalam industri padi dan beras juga layak menerima bantuan subsidi diesel di bawah Program Budi Madani,” katanya.






