KERAJAAN terus mengenal pasti strategi baharu untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik dan berdaya saing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara inisiatif yang menarik pelabur ialah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang turut mendapat maklum balas sangat positif bukan sahaja dari Singapura tetapi juga dari negara lain.
“Kemudian, perancangan kita dengan Thailand supaya memastikan negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu bersama dengan empat wilayah selatan Thailand dibangunkan.
“Kita ada dua mesyuarat, dan 18 Februari ini saya ada satu pertemuan untuk merangka supaya pertumbuhan (di negeri dan wilayah) itu juga berlaku,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Khamis.
Beliau menjawab soalan tambahan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera), mengenai usaha dan insentif kerajaan dalam meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik dan berdaya saing.
Anwar berkata, insentif dengan Thailand sudah tentu berbeza dengan JS-SEZ.
Mengulas lanjut, beliau berkata bagi Sarawak, tumpuan pelaburan adalah kepada hab tenaga bagi wilayah ASEAN.
“Seperti yang saya nyatakan di Parlimen minggu lalu, salah satu strategi Malaysia adalah untuk menyepadukan ke dalam rangka kerja ASEAN dengan meletakkan Malaysia sebagai salah satu hab utama bagi Grid Tenaga ASEAN, menghubungkan Vietnam, Laos, Kemboja, Thailand, Malaysia, Singapura, sehingga ke Indonesia dan Filipina.
“Dan dari Sarawak, ia akan disambungkan ke Sabah, Kalimantan, dan Filipina,” tambahnya.
Beliau juga berkata, Malaysia sedang mengambil langkah untuk mempromosikan Forest City sebagai pusat kewangan dan membangunkannya sebagai contoh, Skim Pejabat Keluarga Tunggal bagi menggalakkan pengurusan dana keluarga.






