
KUANTAN – Pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan maut bukan hanya mengancam nyawa pengguna jalan raya yang tidak bersalah, malah memberi bebanan ekonomi kepada waris mangsa.
Tindakan memandu dalam keadaan mabuk bukan sekadar kesalahan serius malah disifatkan sebagai pembunuhan di jalan raya kerana kecuaian itu boleh membawa kepada kecederaan parah dan kematian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Lantikan) Pahang, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qari berkata, undang-undang sedia ada perlu diperketatkan bagi memastikan hukuman setimpal dikenakan terhadap pesalah, supaya memberi pengajaran kepada masyarakat.
“Kes pemandu mabuk ini bukan perkara baru. Ia sudah lama berlaku dan terus berulang kerana kurangnya elemen pencegahan yang benar-benar memberi kesan.
“Kalau hukuman hanya berbentuk denda atau penggantungan lesen, ia tidak cukup untuk menimbulkan rasa takut.
“Kita perlukan hukuman lebih berat supaya ada kesan pencegahan kepada orang lain,” katanya kepada The Malaysia Press.

Ahmad Irshadi berkata demikian bagi mengulas mengenai kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk yang masih berulang di negara ini.
Terbaharu, sepasang suami isteri disahkan meninggal dunia selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar dari arah belakang dalam kejadian di ibu negara, awal pagi kelmarin.
Sebelum ini, seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia ditahan dan sudah didakwa di mahkamah kerana memandu dalam keadaan mabuk hingga mengakibatkan kemalangan maut di Lebuh raya MEX, menghala Putrajaya.
Mengulas lanjut, Ahmad Irshadi memaklumkan, isu pemanduan di bawah pengaruh alkohol mencetuskan kebimbangan umum apabila kes kemalangan maut akibat perbuatan itu dilihat berulang dan meragut nyawa orang awam yang tidak bersalah.
“Saya sangat berharap pihak kerajaan boleh mempertimbangkan pendakwaan mengikut Kanun Keseksaan terhadap kumpulan pemandu mabuk ini.
“Kita sudah lama menggunakan pendekatan advokasi dan kesedaran, tetapi kes masih berlaku. Sudah tiba masanya hukuman lebih tegas dilaksanakan supaya ada kesan jangka panjang.
“Sekiranya tiada tindakan drastik diambil, kejadian sama akan terus berulang dan lebih ramai nyawa tidak berdosa akan menjadi korban di jalan raya,” katanya.





