JAWATANKUASA Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) yang memohon projek di bawah Program Sejahtera Komuniti Madani (Sejati Madani) perlu fokus kepada usaha meningkatkan taraf sosial dan ekonomi komuniti setempat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, JKKK dalam satu daerah yang sama juga tidak harus memohon projek yang serupa untuk mengelakkan persaingan tidak produktif.
“Saya mengharapkan janganlah semua memohon satu jenis projek yang sama, biarlah pelbagai dalam satu-satu daerah itu supaya ia boleh memberi manfaat yang lebih menyeluruh,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bantuan Sejati Madani daerah Lubok Antu, hari ini.
Beliau berkata, setiap permohonan projek perlu melalui beberapa peringkat penilaian oleh pihak berkaitan.
“Ada jawatankuasa yang akan menilai, kemudian akan dibawa ke pejabat SDO (Pejabat Pembangunan Negeri) melalui ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri) dan di situlah yang akan meluluskan projek,” katanya lagi seperti dilapor Bernama.
Fadillah berkata, sebanyak 1,124 JKKK telah memperoleh manfaat program SejatiMadani di Sarawak dengan nilai keseluruhan projek kira-kira RM100 juta.
Ia melibatkan sektor pertanian dan makanan; jahitan dan kraf tangan; herba dan kesihatan; pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula.





