Gabungan Anwar, Erdogan pertahan isu Palestin mampu gugat dominasi naratif pro-Israel

PUTRAJAYA – Pendekatan Malaysia dan Turkiye dalam membawa isu Palestin bukan sekadar retorik diplomatik, namun berpotensi menjadi satu strategi bersepadu yang mampu menggugat dominasi naratif pro-Israel dalam politik global.

Pemerhati hubungan antarabangsa dan politik, Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, rekod Malaysia yang konsisten dalam memperjuangkan hak Palestin, berada dalam kedudukan unik untuk menjadi suara utama di peringkat antarabangsa, khususnya dalam menyampaikan realiti kezaliman Israel kepada masyarakat global.

Menurutnya, keakraban Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan bukan sahaja perkukuh solidariti dunia Islam terhadap Palestin, namun berfungsi sebagai jambatan diplomasi menghubungkan pelbagai blok kuasa, seperti ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)  dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam menekan Israel serta sekutunya.

“Jika digabungkan dengan keupayaan Turkiye yang mempunyai pengaruh kuat dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) serta industri pertahanan yang maju, kerjasama ini bukan sahaja boleh memperkukuh tekanan diplomatik tetapi membuka ruang kepada tindakan yang lebih konkrit seperti sekatan ekonomi terhadap Israel dan peningkatan sokongan kepada Palestin dalam bentuk bantuan kemanusiaan serta pertahanan.

“Malaysia dan Turkiye boleh membentuk pakatan yang lebih luas dengan negara-negara Global South, termasuk di Afrika dan Amerika Latin, untuk mencabar hegemoni kuasa besar yang menyokong Israel. Dengan pendekatan strategik serta diplomatik, kedua-dua negara berpotensi menjadi kuasa yang mencabar naratif pro-Israel yang selama ini mendominasi antarabangsa.

“Tindakan itu seterusnya membina momentum bagi tindakan lebih tegas dalam menangani kezaliman Israel. Persoalannya kini, sejauh mana Malaysia bersedia untuk mengambil peranan itu dan menggunakan pengaruhnya bagi memastikan suara Palestin bukan sekadar didengar, tetapi diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang memberi impak besar dalam geopolitik global,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press (TMP), hari ini.

Persahabatan Anwar dan Erdogan bukan sekadar hubungan rasmi antara ketua kerajaan, namun sudah terjalin sejak sekian lama berdasarkan prinsip perjuangan yang sama, seperti keadilan sosial, kepimpinan berteraskan Islam selain penentangan terhadap genosid yang melampau.

Kedua-dua pemimpin tersebut sering melakukan pertemuan santai, selain Erdogan acap kali menzahirkan sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia, termasuk mengundangnya ke Turkiye bagi memperkukuhkan hubungan diplomasi.

Dalam pada itu, Nur Ashikin berkata, persahabatan Anwar dan Erdogan juga membuka peluang besar bagi Malaysia untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam ekonomi dan diplomasi global.

Katanya, Turkiye telah membuktikan bahawa dasar negara dagang yang pragmatik membolehkan mereka mengekalkan hubungan baik dengan pelbagai kuasa besar, termasuk Amerika Syarikat (AS), China, dan Rusia, walaupun berdepan cabaran geopolitik.

“Pendekatan itu memberi manfaat besar kepada ekonomi Turkiye dan meningkatkan pengaruhnya dalam arena antarabangsa. Malaysia kini berada dalam kedudukan strategik untuk mengadaptasi model terbabit dengan kelebihan dan keunikan tersendiri.

“Anwar telah mengambil langkah aktif dalam memperkukuh hubungan dengan China, AS, Kesatuan Eropah, dan negara-negara Timur Tengah dalam memastikan Malaysia mendapat manfaat ekonomi tanpa terperangkap dalam persaingan geopolitik kuasa besar.

“Walaupun terdapat cabaran seperti persepsi AS terhadap hubungan Malaysia serta China, Malaysia berpotensi menjadi jambatan ekonomi dan diplomatik yang menghubungkan pelbagai blok kuasa, sekaligus mengukuhkan peranannya di rantau ASEAN dan peringkat global,” katanya.

Bagi merealisasikan visi tersebut, Nur Ashikin berpandangan, keperluan buat Malaysia memperkukuh sektor ekonomi bernilai tinggi, menarik pelaburan yang berkualiti, dan memastikan kestabilan politik serta dasar yang konsisten.

“Dengan kestabilan ini, Malaysia bukan sahaja dapat mencontohi kejayaan Turkiye sebagai negara dagang, tetapi juga membangunkan identiti diplomatik yang lebih berani dan berpengaruh.

“Hakikatnya, Malaysia berada di ambang transformasi penting. Dengan kepimpinan berwawasan dan strategi yang tepat, Malaysia mampu menjadi negara dagang,  bukan sahaja berdaya saing dalam ekonomi global tetapi juga dihormati sebagai kuasa diplomatik yang bebas, pragmatik, serta berprinsip dalam membentuk hala tuju dunia,” katanya.

Related Posts

Kerajaan teliti impak gangguan petrokimia susulan penutupan Selat Hormuz

PUTRAJAYA – Kerajaan sedang memperhalusi kesan gangguan bekalan bahan petrokimia terhadap rantaian bekalan, khususnya sektor pembungkusan barangan keperluan harian, susulan penutupan Selat Hormuz. Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Harga diesel turun lagi 85 sen

Harga diesel turun lagi 85 sen

Kerajaan teliti impak gangguan petrokimia susulan penutupan Selat Hormuz

Kerajaan teliti impak gangguan petrokimia susulan penutupan Selat Hormuz

Kerajaan bakal umum langkah baharu tangani pengangguran minggu depan

Kerajaan bakal umum langkah baharu tangani pengangguran minggu depan

463 permohonan turunkan kandungan berita palsu diterima MCMC

463 permohonan turunkan kandungan berita palsu diterima MCMC

BDR bantu jimat lebih 300,000 liter bahan api dalam tempoh seminggu

BDR bantu jimat lebih 300,000 liter bahan api dalam tempoh seminggu

200 juta liter diesel ke Australia bukan dari Malaysia – Fahmi

200 juta liter diesel ke Australia bukan dari Malaysia – Fahmi