
KUALA LUMPUR – Kehadiran warden dalam kalangan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di dua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) menunjukkan kesan positif apabila disiplin pelajar semakin terkawal.
Langkah itu dilaksanakan melalui projek rintis pelantikan bekas anggota tentera yang bermula bulan ini bagi menangani isu disiplin termasuk kes buli dalam kalangan pelajar.
Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman berkata, sambutan daripada masyarakat amat baik khususnya ibu bapa yang melihat keberkesanan peranan warden beruniform dalam mendidik pelajar.
“Alhamdulillah, kita telah mulakan projek perintis di dua MRSM dan sambutannya amat baik.
“Pelajar sendiri menerima baik pendekatan warden veteran ATM kerana mereka tegas tetapi dalam masa sama berhemah,” katanya ketika di sebuah hotel di sini hari ini.

Menurut beliau, pengalaman luas anggota tentera dalam bidang kepimpinan dan disiplin memberi nilai tambah kepada usaha membentuk sahsiah pelajar.
“Usaha ini adalah antara langkah terbaik untuk membendung isu buli dan salah laku yang menjadi kebimbangan ibu bapa sejak kebelakangan ini,” jelasnya.
Katanya lagi, kehadiran warden veteran juga dapat mengurangkan beban guru yang sebelum ini terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai warden separuh masa.
“Guru boleh lebih fokus pada aspek pengajaran, manakala tugas pengawasan dan pembentukan disiplin dipikul oleh veteran ATM yang berpengalaman,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan projek ini masih di peringkat awal dan sedang dinilai bagi memastikan keberkesanannya.
“Jika projek perintis ini berjaya, insya-Allah kita akan perluaskan pelaksanaannya ke semua MRSM di seluruh negara,” ujarnya.
Tambahnya, jumlah permohonan yang diterima juga amat menggalakkan apabila hampir 500 bekas anggota tentera hadir ke sesi temu duga, walaupun hanya kurang 10 orang dipilih.


