
PUTRAJAYA – Beberapa isu yang dibangkitkan menerusi laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung pembangunan tanah di ibu negara berada di luar bidang kuasa Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Sri Dr Zaliha Mustafa telah mengarahkan JWP dan DBKL untuk meneliti syor-syor yang dikemukakan jawatankuasa tersebut.
Katanya, perkara berkenaan perlu difahami berdasarkan aspek perundangan, dasar perancangan bandar serta garis panduan pembangunan yang telah ditetapkan kerajaan.
“Kerajaan MADANI akan sentiasa komited untuk memastikan setiap langkah pembangunan tanah di Kuala Lumpur dilaksanakan dengan lebih telus, teratur.
“Pada masa sama, ia berlandaskan prinsip tadbir urus yang baik demi kepentingan rakyat serta kelestarian bandar raya,” katanya menerusi kenyataan, pada Selasa.
Pada Isnin, PAC mendedahkan laporan yang mengesan beberapa percanggahan daripada sembilan prosiding berkaitan penjualan dan pembangunan tanah oleh DBKL, termasuk pelanggaran yang mengakibatkan pembangunan tidak terkawal.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, dalam rumusannya kepada 12 perkara utama berkata, peranan Lembaga Penasihat Bandar Raya adalah terhad sebagai penasihat di bawah Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 (Akta 190) dan tidak mempunyai kuasa membuat keputusan secara bersama, berbeza dengan sistem Ahli Majlis di PBT negeri-negeri lain.
Katanya, terdapat kelemahan dalam sistem perancangan pembangunan tanah Kuala Lumpur yang memerlukan semakan semula, terutama berkaitan kewajaran pembangunan seperti pemberi milikan tanah bagi projek berdensiti tinggi di kawasan paling lapang atau hijau.
Sehubungan itu, katanya PAC mencadangkan agar kerajaan menyemak semula dan meminda undang-undang berkaitan pembangunan tanah Kuala Lumpur seperti Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1982 (Akta 267).
Beliau berpendapat, terdapat keperluan ia dilaksana bagi memperkenalkan sistem Ahli Majlis lantikan DBKL seperti yang dilaksanakan di negeri lain, demi memastikan sistem semak dan imbang dapat diwujudkan.





