KEMERIAHAN menyambut hari raya masih dirasai di seluruh negara sebagai meraikan hari kemenangan dan kembali kepada fitrah selepas sebulan berpuasa Ramadan walaupun pada hakikatnya Aidilfitri adalah pada 1 Syawal.
Sambutan Aidilfitri juga berbeza di antara tempat, negeri, wilayah dan mukim tetapi yang pasti, ia dipenuhi dengan tradisi saling bermaafan, menjamu selera bersama ahli keluarga dan mengadakan majlis rumah terbuka meraikan tetamu sebagai tanda bersyukur.
Namun, ‘lain padang, lain belalang’. Ada sesetengah tempat atau negeri meraikan Aidilfitri dengan cara berbeza. Amalan berziarah dan kunjung-mengunjungi juga berbeza-beza.
Ada tempat meraikan Aidilfitri khasnya pada 1 Syawal dengan mengamalkan tradisi bertakbir dari rumah ke rumah, ada yang sekadar berkunjung ke rumah jiran atau kenalan sambil bertanya khabar dan kemudian bergerak ke rumah lain pula untuk beraya.
Namun di Selangor, terdapat satu tradisi unik meraikan dan memeriahkan Aidilfitri iaitu dengan mengadakan program marhaban raya dari satu rumah ke satu rumah di kampung atau taman perumahan yang kadang-kadang mengambil masa dua atau tiga hari untuk disempurnakan.
Tradisi ini amat kuat dilakukan terutama di daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam yang mempunyai penduduk majoriti berketurunan Jawa.
Apa yang menjadi keunikan, tradisi ziarah hari raya Aidilfitri atau dikenali dengan nama `baraan’ penuh tradisi sejak 1950-an itu akan membabitkan penyertaan lebih daripada 80 peserta ke kira-kira 100 kediaman dengan berkonvoi menunggang motosikal.
Lazimnya, tradisi baraan ini dilaksanakan selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri sehingga waktu petang dan disambung pada hari kedua hingga seminggu Syawal.
Setiap peserta baraan akan memakai baju Melayu lengkap bersamping dan songkok dan ada setengah tempat terdapat baraaan yang terdiri dalam kalangan peserta wanita sahaja yang memakai baju kurung, sebagai tanda menjunjung kemurnian budaya Melayu dan Islam.

Seorang peserta, Abdullah Muji, 64, berkata, aktiviti itu mungkin dilihat remeh atau menyusahkan penduduk berikutan perlunya menerima rombongan ramai.
Namun menurutnya, ia menjadi wadah mengeratkan hubungan sesama masyarakat kampung atau jiran tetangga yang sudah lama tidak bertemu walaupun menetap di kampung sama.
“Walaupun baraan ini tradisi budaya, yang secara zahirnya tidak merujuk kepada amalan sepertinya dalam kalangan sahabat Nabi Muhammad SAW, tradisi ini dibina berasaskan kefahaman masyarakat Islam kepada ajaran dibawa Nabi Muhammad SAW, khususnya ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Ajaran Baginda berkaitan galakan ziarah menziarahi bagi menghubung silaturahim, melayan dan menjamu tetamu, berselawat secara berkumpulan, serta bersalaman dan bermaafan, adalah intipati amalan baraan yang secara dasarnya bukan sekadar tradisi menyambut hari raya.
“Namun, ia disusun rapi ulama terdahulu di alam Melayu, untuk mendidik umat Islam menyambut hari raya dengan melaksanakan ajaran Nabi Muhammad SAW. Ia didikan bersifat praktikal bagi melaksanakan sunnah Nabi dalam kehidupan seharian,” katanya ketika ditemui wartawan The Malaysia Press (TMP) di Sekinchan, pada Rabu.

Sementara itu, bagi peserta baraan wanita, Siti Mariah Alias, 57, berkata, tradisi lama itu berjaya menarik minat golongan muda yang rata-ratanya bekerja di luar kawasan dan pulang ke kampung menjelang Aidilfitri.
“Melalui tradisi baraan, kami dapat berkumpul dan bersilaturrahim kerana sebahagian besar ada hubungan persaudaraan. Alhamdulillah, saya lihat budaya ini di area Sekinchan dan Sungai Besar, ramai yang masih menghidupkannya khususnya daripada anak muda.
“Ada tempat yang sudah tiada pun aktiviti baraan. Bagi saya, ia satu tradisi yang perlu dihidupkan kembali kerana ia terpasak dan sarat dengan nilai agama serta susur galurnya dalam suasana mahabah dan saling hormat menghormati antara satu sama lain selain ia juga dapat memberi perhatian terhadap keluarga yang kurang bernasib baik,” katanya.









