KUALA LUMPUR – PKR menegaskan ruang untuk Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, menyuarakan pandangan dalam parti sentiasa terbuka, namun beliau memilih untuk tidak menghadiri kebanyakan mesyuarat parti sejak November lalu.
Timbalan Setiausaha Agung PKR, Bryan Ng berkata, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) adalah antara platform utama parti yang turut dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pemimpin lain termasuk menteri dan timbalan menteri.
Katanya, pelbagai isu nasional, dasar kerajaan dan perkembangan semasa dibangkitkan serta dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.
“Pemimpin parti berpeluang bertanya, memberikan pandangan, tidak bersetuju dan membangkitkan isu secara langsung kepada kepimpinan tertinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Chean Chung yang dipilih menganggotai MPP kemudiannya memilih untuk meletakkan jawatan daripada kepimpinan parti itu.
Bryan turut menafikan dakwaan Chean Chung bahawa beliau tidak mempunyai ruang untuk membangkitkan isu berkaitan Petaling Jaya.
Katanya, Chean Chung sebelum ini dijemput menghadiri mesyuarat berkaitan mitigasi banjir oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan di peringkat negeri, namun tidak menghadiri kebanyakan mesyuarat berkenaan.
Beliau berkata, Chean Chung turut dijemput menghadiri mesyuarat berkaitan Pelan Tempatan Petaling Jaya yang meliputi aspek guna tanah, trafik, kemudahan awam dan pembangunan masa depan, namun sekali lagi tidak menghadiri kebanyakan mesyuarat terbabit.
“Kalau ada soalan, bertanyalah. Kalau tidak bersetuju, berdebatlah. Kalau ada cadangan yang lebih baik, kemukakanlah,” katanya.
Bryan berkata, Chean Chung sebelum ini turut menyuarakan pandangan mengenai cadangan pemisahan peranan Peguam Negara dan pendakwa raya, yang kemudiannya menyaksikan kerajaan membuat penambahbaikan terhadap cadangan berkenaan.
Beliau turut mempersoalkan keputusan Chean Chung untuk kekal dalam PKR ketika menghadiri program dan muncul di platform anjuran Parti Bersama Malaysia.
Katanya, tindakan disiplin terhadap anggota yang menyokong atau membantu pihak lawan politik bukan perkara luar biasa.
Chean Chung meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya berkuat kuasa hari ini selepas bertemu Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, semalam.
Beliau sebelum ini berkata, menerima keputusan PKR pada 30 September lalu untuk menggantung keahliannya selama tiga tahun.
Chean Chung turut mendakwa penggantungan itu berkait dengan pendiriannya yang lantang mengenai pelbagai isu membabitkan kepentingan awam dan menyebabkan beliau tidak lagi dapat menyuarakan pendirian dalam parti.
Bryan berkata, rakyat mahukan wakil yang hadir, bekerjasama dengan agensi berkaitan, membuat susulan dan berusaha mendapatkan penyelesaian terhadap isu yang dibangkitkan.
“Ahli Parlimen yang berkesan bukan sekadar seseorang yang mengeluarkan kenyataan.
“Tanggungjawab mereka adalah membawa isu kepada pihak berkuasa berkaitan, menghadiri mesyuarat, mendesak tindakan dan membuat susulan sehingga penyelesaian dicapai.
“Itulah yang rakyat berhak harapkan daripada setiap ahli politik. Saya mendoakan yang terbaik untuk perjalanan beliau selepas ini,” katanya.



