
SETIAP kali pulang ke kampung menyambut Aidilfitri pasti teruja untuk berjumpa sanak saudara memandangkan jarang sekali dapat peluang berjumpa mereka.
Segala persiapan sudah dirapikan sebelum pulang ke kampung, cuti sudah diambil, baju raya dan kuih-muih telah siap dikemas dalam bagasi, serta kereta sudah diservis sebelum bertolak pulang ke kampung.
Dalam perjalanan pun sudah teruja dan tidak sabar untuk berjumpa keluarga di kampung.
Tiba di kampung…
“Bila nak kahwin?”, “Kamu dah tiga siri, masih tiada kawan ke?”, “Kita ini orang perempuan jangan nak memilih sangat?”
Soalan-soalan ‘pedas’ ini menjadikan pulang ke kampung berubah menjadi hambar.
Ada juga antara anak-anak perantauan berasa berat untuk pulang ke kampung kerana tidak mahu ditanyakan soalan-soalan begini.
“Masa ambil gambar ramai-ramai bersama keluarga, ada makcik cakap yang duduk bawah itu anak dara tak laku.”
“Aku dulu ada seorang makcik suka tanya bila nak kahwin, bila dah kahwin tanya pula bila nak ada anak.”
“Kalau makcik nak sangat tengok saya kahwin, bagi sahaja duit simpanan makcik kat saya. Baru saya boleh kahwin!”
Bukan anak dara sahaja yang terkena, anak teruna juga tiada bezanya.
“Aku dah terkena jugak… Sampai satu hari raya itu, bilik aku kena ‘pinjam’. Sedara-mara datang berhari raya, kata mereka, orang bujang ni tidur tak payah bilik, bagi la akak, abang yang sudah berkahwin yang pakai.”
Kalau lelaki mesti ditanya, “Kamu belajar di mana? Nanti kerja nak jadi apa? Dah berjaya belum?”
Itulah antara reaksi netizen di media sosial yang mengalami situasi sama setiap kali tibanya Aidilfitri.
Ada yang sudah lali dengan menganggap saudara mara mereka hanya mahu beramah mesra ketika hari raya tetapi ada juga yang tidak selesa dan tidak senang dengan soalan yang sering ditanyakan.
Jadi ini antara skema jawapan yang boleh membidas soalan ‘panas’ makcik-makcik itu…
1. Jawapan selamat dan sopan
- “Insya-Allah, kalau ada rezeki nanti.”
- “Doakan saya jumpa jodoh yang baik, makcik.”
- “Belum sampai seru lagi, makcik.”
- “Masih dalam fasa memperbaiki diri dulu.”
Kelebihan: Jawapan ini sesuai digunakan jika soalan tersebut ditanya kali pertama. Pada mulanya, kita mungkin rasa malu-malu, tapi kalau setiap kali berjumpa atau dalam setiap pertemuan keluarga soalan yang sama diajukan di depan ramai orang, memang boleh rasa terbeban! Jadi, skema jawapan seterusnya boleh jadi pilihan yang lebih sesuai.
2. Jawapan sindiran tetapi masih beradab
- “Jodoh ni misteri, makcik. Kalau saya tahu tarikhnya, saya dah buat kad kahwin.”
- “Makcik ada calon? Kalau ada yang elok, saya terima borang.”
- “Nak kahwin tu senang, nak cari yang betul-betul serasi tu yang mencabar.”
- “Satu-satu dulu, makcik. Rezeki kahwin tak sama macam rezeki kuih raya.”
Kelebihan: Kalau sudah tidak tahan dengan soalan panas makcik-makcik itu, boleh sahaja balas dengan jawapan ni — confirm mereka terus senyap!
3. Jawapan ‘pedas’
- “Makcik nak sponsor katering? Saya terus cari calon sekarang.”
- “Lelaki/ perempuan ramai, makcik. Tapi yang tahan nak dengar soalan ni setiap tahun yang susah cari.”
- “Makcik dulu kahwin umur berapa? Kalau lagi lambat dari saya, kita seri lah!”
- “Bila anak makcik nak tambah menantu? Saya boleh masuk borang kalau ada kosong.”
Kelebihan: Skema jawapan yang ketiga ini kalau anda gunakan anda memang power! Tetapi skema jawapan ini akan datang bersama pakej sakit hati dan mungkin pergaduhan dalaman bersama keluarga. Hati-hati dalam memilih pilihan jawapan!
Kesimpulan
Pulang ke kampung sering kali membawa kegembiraan, namun soalan-soalan sensitif mengenai perkahwinan daripada saudara-mara boleh menjadikan suasana tidak selesa.
Apa yang penting adalah untuk tetap tenang dan memilih jawapan yang sesuai dengan keadaan, agar hubungan dengan keluarga tetap harmoni dan tidak merosakkan suasana pertemuan.
Dengan sedikit humor dan kesabaran, kita dapat menangani soalan-soalan seperti ini tanpa menjejaskan perasaan sesiapa.









